BULAN November semakin menghampiri, tetapi puncak Gunung Fuji di Jepun masih belum berselimuti salji.
Ini menandakan 2024 sebagai tahun yang paling lambat turunnya salji di puncak gunung tersebut dalam rekod 130 tahun yang lepas.
Puncak gunung tertinggi di Jepun itu biasanya diselaputi salji pada awal Oktober, tetapi setakat Selasa, puncak gunung itu masih kekal 'kosong' sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai terjadinya kesan krisis iklim.
Menurut agensi cuaca Jepun, mengikut purata, salji kebiasaannya mulai terbentuk di Fuji bermula pada 2 Oktober dan pada tahun lepas ia dilaporkan muncul pada 5 Oktober.
Fuji bersalji pada 5 Oktober tahun lepas.
Namun, pada awal November 2023, kebanyakan salji mulai mencair kerana suhu yang hangat.
Pejabat Meteorologi Tempatan Kofu, yang setiap tahun mengumumkan tentang salji pertama di Fuji juga masih belum membuat sebarang pengumuman pada tahun ini, dengan menjelaskan bahawa terjadinya cuaca panas yang luar biasa.
"Kerana suhu tinggi yang berterusan terjadi sejak musim panas dan hujan yang kerap. Jadinya, tiada salji turun," kata Pegawai Meteorologi, Shinichi Yanagi pada Selasa.
Ketiadaan salji sejak Selasa lepas memecahkan rekod yang dicatatkan sebelumnya iaitu pada 26 Oktober 1955 dan 2016.
Pada September lepas, Agensi Meteorologi Jepun berkata, Jepun mencatatkan musim panas yang paling teruk pada tahun ini sejak statistik mula direkodkan pada 1898.
Suhu purata dari Jun hingga Ogos adalah 1.76 darjah Celsius (C), lebih tinggi dari paras normal dan mengatasi rekod sebelumnya yang dicatatkan pada 2010 iaitu 1.08C.
Analisis dari Climate Central pula berkata, walaupun pada musim luruh, sekurang-kurangnya 74 bandar di Jepun mencatatkan suhu 30C atau lebih tinggi pada minggu pertama Oktober.
Ramai pendaki berminat untuk membuat pendakian di Fuji.
Tambahnya lagi, panas luar biasa pada Oktober di Jepun adalah tiga kali ganda berkemungkinan disebabkan oleh krisis iklim.
Kepanasan ekstrem musim panas di Jepun bukanlah fenomena tempatan.
Musim panas itu mencatatkan rekod haba global buat dua tahun berturut-turut, dengan 2024 dijangka menjadi tahun terpanas dalam sejarah rekod.
Fenomena iklim semula jadi El Nino menyumbang kepada peningkatan suhu, selain faktor yang disebabkan oleh manusia seperti pembakaran bahan api fosil penyebab utama krisis iklim.
Para saintis telah lama memberi amaran bahawa dunia perlu menghadkan pemanasan global kepada 1.5C di atas tahap pra-industri bagi mengelakkan kesan bencana daripada perubahan iklim.
Kajian pada Januari lepas mendapati krisis iklim telah mengurangkan jumlah salji di kebanyakan kawasan Hemisfera Utara dalam 40 tahun terakhir ini.
Salji yang turun lambat di Gunung Fuji mungkin merupakan petanda yang membimbangkan tentang arah dunia, dengan musim sejuk yang mulai panas memberi kesan pada salji, pelancongan, ekonomi tempatan, bekalan makanan dan air.
Dengan ketinggian 3,776 meter, Gunung Fuji yang terletak di sempadan prefektur Yamanashi dan Shizuoka merupakan tapak Warisan Dunia UNESCO dan ikon Jepun.
Gunung Fuji yang diselaputi salji pastinya merupakan satu keindahan alam yang dinantikan ramai pengunjung.
Gunung ini biasanya diselaputi salji untuk sebahagian besar tahun sehingga musim pendakian dibuka pada bulan Julai, menarik jutaan pengunjung yang ingin mendaki ke puncak atau menyaksikan matahari terbit dari lerengnya yang terkenal.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Gunung Fuji menghadapi masalah kehadiran pelancongan secara berlebihan di kawasan itu.
Pegawai Jepun melaporkan bahawa pelawat membuang sampah, menggunakan tandas secara berlebihan dan mendaki tanpa kelengkapan yang sesuai yang menyebabkan berlaku kecederaan.
Pada Julai, pihak berkuasa melaksanakan cukai pelancongan dan peraturan baharu bagi mengawal jumlah pengunjung.
Kini, pendaki perlu membayar 2,000 yen (RM58) setiap orang dengan had harian 4,000 pendaki setiap hari. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram