SEORANG peluncur ombak wanita berasal dari Itali meninggal dunia selepas ditusuk oleh seekor ikan todak di perairan Sumatera Barat, Indonesia pada Jumaat lepas.
Pada awalnya, Giulia Manfrini, 36, sedang meluncur ombak di Kepulauan Mentawai yang terkenal sebagai sebuah destinasi popular untuk aktiviti meluncur ombak.
Pemangku ketua agensi pengurusan bencana pulau itu berkata, ikan todak tanpa diduga melompat ke arah Manfrini dan menusuk dadanya.
Polis berkata, Manfrini telah dibawa ke hospital dan diberi pertolongan cemas oleh rakannya, Massimo Ferro dan Alexandre Ribas, namun nyawanya tidak dapat diselamatkan.
Menurut laporan perubatan, dia mengalami luka di dada sedalam 5 sentimeter dan menunjukkan simptom lemas.
Difahamkan, jenazahnya telah dibawa ke Kota Padang dan akan dihantar pulang ke Itali.
Datuk Bandar, Fabio Giuvili berkata, berita itu mengejutkan warga penduduk kampung halaman Manfrini di Venaria Reale, Itali.
"Manfrini telah lama mencapai impiannya untuk meluncur ombak, sukan kegemarannya dan membuka agensi pelancongan untuk percutian sukan," kata Giuvili dalam satu hantaran di Facebook.
Rakan kongsi Manfrini, James Colston berkongsi berita sedih itu di laman Instagram syarikat mereka, travel agensi Awave.
"Manfrini mengalami kemalangan tak terjangka dan gagal diselamatkan meskipun memperoleh bantuan daripada rakan, doktor dan kakitangan resort.
“Kami percaya dia meninggal dunia ketika melakukan apa yang dia cintai, di tempat yang dia cintai.
"Giulia adalah nadi kepada syarikat ini dan semangatnya yang penuh keceriaan terhadap sukan luncur ombak, salji dan kehidupan akan diingati oleh semua yang pernah berhubung dengannya," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram