DALAM banyak-banyak lokasi menarik buat pencinta alam, ramai tidak menyedari betapa indahkan Taman Negara, Kuala Tahan, Pahang.
Lokasi itu yang dijaga dengan sempurna menjadikannya satu tempat yang sangat ideal untuk dikunjungi bersama insan tercinta, rakan-rakan atau keluarga.
Manakan tidak, banyak aktiviti tersedia di Taman Negara yang menjadikan pengalaman mengunjungi lokasi itu sama sekali tidak membosankan malah mengujakan.
BACA LAGI: Pesan orang tua jangan seronok sangat, 'hiker otai' kongsi tip elak pendaki diganggu makhluk halus
BACA LAGI: [VIDEO] Siswa Labah-Labah daki secara merangkak, anak jati Kuching buktikan OKU mampu tawan Everest
Lata Berkoh merupakan satu tempat menarik di Taman Negara.
Para pengunjung yang sudah tiba di lokasi itu pastinya mahu datang semula ke lokasi berkenaan.
Antara lima aktiviti yang boleh dikunjungi seperti:
1. Lata Berkoh
Lata Berkoh adalah salah satu destinasi menarik yang patut dikunjungi.
Lata Berkoh dikenali dengan air terjun yang memukau dan kolam-kolam yang sesuai untuk bermandi.
Suasana di situ sangat tenang dan menenangkan menjadikannya tempat yang ideal untuk bersantai dan menikmati keindahan alam.
Tidak hanya itu, air terjun yang mengalir juga jernih dan bersih sehingga memberikan pengunjung peluang untuk merasai 'healing' yang sebenar.
Pengunjung juga boleh menjalani aktiviti trekking, menyelam dan berjalan kaki sambil menikmati pemandangan hutan hujan tropika dan pelbagai spesis tumbuhan yang berada di situ.
Berjalan di Canopy Walkway pastinya satu peluang yang bermakna buat seseorang.
2. Canopy Walkway
Canopy Walkway terletak kira-kira 40 meter dari permukaan tanah dan mempunyai panjang sekitar 530 meter.
Aktiviti ini menawarkan peluang unik untuk melihat kehidupan liar seperti burung enggang, tupai dan pelbagai serangga yang tidak mudah kelihatan dari bawah.
Bagi mereka yang suka aktiviti mencabar, berjalan di atas jambatan gantung yang bergoyang itu pasti akan meningkatkan adrenalin.
Walaupun ia selamat, perasaan melangkah di atas tali gantung sambil melihat pemandangan di bawah pastinya sangat mendebarkan.
Dari atas Canopy Walkway, pengunjung dapat menikmati pemandangan luas dan indah hutan hujan tropika yang tebal, meliputi seluruh kawasan Taman Negara.
Berada di kawasan itu memberikan rasa keterasingan dari dunia luar dan membawa pengunjung lebih dekat dengan alam semula jadi yang dijaga dengan rapi.
Rapid Shooting merupakan perjalanan menaiki bot laju melintasi jeram-jeram deras di Sungai Tembeling.
3. Rapid Shooting
Rapid Shooting sangat popular di kalangan pengunjung yang gemarkan cabaran dan ingin merasai pengalaman berdepan dengan aliran air yang kuat.
Aktiviti air itu adalah pengalaman mendebarkan yang melibatkan perjalanan menaiki bot laju melintasi jeram-jeram deras di Sungai Tembeling.
Pengalaman itu dibuat dengan melibatkan pergerakan bot kayu tradisional yang dikendalikan oleh pemandu mahir, merentasi beberapa jeram deras seperti Jeram Abai, Jeram Terenggan dan Jeram Kasir.
Jeram-jeram itu dikenali kerana arusnya yang deras sehingga membolehkan bot bergerak dengan pantas dan bergoyang kuat untuk memberi pengalaman yang berbeza kepada pengunjung.
Rapid Shooting biasanya dilakukan dalam kumpulan sekitar empat orang yang membolehkan keriangan bersama kumpulan ketika menghadapi jeram-jeram deras satu memori yang tidak akan dilupakan.
Aktiviti di perkampungan orang asli.
4. Melawat Perkampungan Orang Asli
Meskipun kehidupan kini kelihatan berada dalam keadaan serba moden, pengunjung yang memilih untuk pergi ke Taman Negara Kuala Tahan berpeluang melawat perkampungan Orang Asli di sana.
Pengunjung berpeluang mempelajari bagaimana Orang Asli suku Batek dan Semokberi menjalani kehidupan harian mereka.
Ini kerana, mereka masih mengekalkan cara hidup lama yang bergantung kepada alam sekitar seperti memburu menggunakan sumpit buluh dan mengumpul hasil hutan untuk keperluan asas.
Salah satu aktiviti menarik semasa lawatan ialah demonstrasi membuat api menggunakan bahan semula jadi seperti ranting kayu dan daun.
Pengunjung juga boleh mencuba menggunakan sumpit, alat tradisional yang digunakan untuk memburu haiwan kecil.
Ramai pengunjung gemar memancing di Taman Negara.
5. Memancing
Para penggemar aktiviti memancing juga tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Taman Negara yang kaya dengan pelbagai spesis ikan air tawar.
Memancing di kawasan itu biasanya dilakukan di Sungai Tembeling, Sungai Keniam dan Sungai Tahan.
Taman Negara mempunyai peraturan ketat untuk memastikan kelestarian alam sekitar dan populasi ikan terpelihara.
Jadinya, sebelum memancing, kaki pancing perlu mendapatkan permit khas dari pihak pengurusan Taman Negara.
Trip memancing juga disediakan di Taman Negara yang membolehkan pengunjung dapat menyewa bot untuk memudahkan aktiviti memancing dibuat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram