SIAPA sangka dua beradik autisme, Cheng Xiang Jin dan adiknya, Cheng Xiang Wei mencipta nama dalam dunia seni dengan kepakaran luar biasanya dalam Japanese Saori.
Xiang Jin sering melakukan kerja menganyam Japanese Saori manakala Xiang Wei pula akan menjahit Japanese Saori di United Way, Puchong, Selangor.
Seni anyaman dan jahitan dari Jepun itu membolehkan mereka meluahkan ekspresi bebas mengikuti kreativiti tersendiri.
BACA LAGI: [VIDEO] Lukisan mistik, karya artis OKU jadi tarikan Festival Kartun Gen-Z di Rumah Tangsi
Japanese Saori yang dihasilkan Xiang Jin.
Ibu anak autisme berkenaan, Khoo Soh Lien berkata, Xiang Jin sering menghadapi cabaran dalam komunikasi dan interaksi sosial memandangkan miliki masalah autisme sejak kecil.
Namun, melalui seni anyaman Saori, beliau menemui medium yang memberinya kebebasan untuk meluahkan perasaan dan imaginasi.
Teknik Japanese Saori mengutamakan keunikan setiap karya, iaitu kesilapan atau ketidaksempurnaan dilihat sebagai sebahagian daripada kecantikan reka bentuk.
Xiang Wei menghasilkan jahitan tangan bentuk penguin.
Dengan setiap helai benang yang dirajut, Xiang Jin mampu menterjemahkan dunia imajinasinya yang kompleks dan indah ke dalam karya seni yang memukau.
Khoo Soh Lien berkata, dia menyedari anaknya memiliki kemahiran dalam seni jahitan dan anyaman Japanese Saori sewaktu anak mereka masih berada dalam persekolah sekitar umur 11 tahun.
"Guru mereka yang beritahu saya yang anak saya talented. Pandai menjahit," katanya kepada Majoriti.
Khoo Soh berpendapat bahawa menyokong minat anak autisme adalah hal yang penting untuk membolehkan mereka mengembangkan bakat.
"Kalau nampak dia buat cantik kita puji. Tetapi kalau buat jahat jangan hukum tetapi cakap dengan cara yang lembut," katanya.
Selepas tamat persekolahan pada 2019, Khoo memutuskan untuk memberi izin kedua-dua anak autismenya untuk bekerja di United Way bagi menghasilkan seni Japanese Saori.
Japanese Saori yang sudah dianyam akan diubah menjadi bentuk yang berbeza.
Sentiasa menyokong minat anaknya, Khoo Soh juga membeli mesin di rumah bagi memudahkan mereka meluangkan masa dengan jahitan dan anyaman Japanese Saori.
"Haritu ada kawan saya jual. Jadi saya berfikir kalau beli dapat memudahkan mereka isi masa lapang," katanya.
Khoo Soh berkata, anyaman juga memberi Xiang Jin ruang untuk berkarya tanpa rasa takut atau tekanan.
Karya Cheng Xiang Jin bukan sahaja menawan hati ramai orang, malah menginspirasikan masyarakat untuk lebih memahami kelebihan yang dimiliki setiap insan termasuk individu autisme.
"Di tempat kerjanya, banyak sudah jahitan Japanese Saori yang terjual," katanya.
Dengan semangat yang gigih dan bakat yang luar biasa, Cheng Xiang Jin terus mencipta karya-karya yang bukan sahaja mengagumkan dari segi estetika. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram