Khadijah Ibrahim terlibat kemalangan sewaktu dalam perjalanan dari Brunei ke Sabah


  • Hiburan
  • Isnin, 30 Sep 2024

Khatijah Ibrahim kemalangan sewaktu dalam perjalanan dari Brunei Darussalam ke Kota Kinabalu, Sabah pada pukul 5.28 petang Isnin. 

PENYANYI veteran terkenal, Datuk Khadijah Ibrahim dilapor mengalami kecederaan selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya ketika sewaktu dalam perjalanan dari Brunei Darussalam ke Kota Kinabalu, Sabah pada pukul 5.28 petang Isnin.

Memetik laporan Info X, kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki Khadijah bertembung dengan sebuah Toyota Avanza, Taman Kinamas, Jalan Beaufort – Kota Kinabalu di Beaufort.

Selain penyanyi lagu Doa Buat Kekasih itu, antara individu yang tercedera dalam kenderaan pikap terbabit ialah Baharuddin Hassan, 70 dan Kharnita Adrianti Aminudin, 40.

BACA LAGI: Sabari sah dibunuh, suspek mengaku campak mangsa dalam Sungai Padang Terap

BACA LAGI: Kes Daesh: Bekas Ketua Kumpulan 'Wolf Pack' kena penjara 10 tahun, didapati bersalah terlibat aktiviti keganasan

Bagaimanapun, penyanyi berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan baik dengan ketiga-tiga mereka dapat keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan anggota bomba yang dikejarkan untuk membantu mangsa.

Khadijah yang dilaporkan hanya mengalami cedera ringan selain memiliki kesan darah dalam jumlah yang sedikit di tangan dipercayai memandu kenderaan terbabit.

Beliau juga sempat memaklumkan kepada anggota bomba dan polis yang tiba di lokasi kejadian mengenai konsertnya yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 1 November depan.

Selain itu, pemandu dan penumpang kereta Toyota Avanza yang dikenali sebagai Liaw Lee Jin, 30 dan Fong Pak Man, 60 juga dilapor cedera.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Mohd Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.29 petang tadi.

Sejurus selepas itu, katanya seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi bersama jentera yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Irwan Abdul selaku Komander Operasi dan tiba pada pukul 5.34 petang.

“Selepas tiba, Komander Operasi melaporkan kemalangan membabitkan dua buah kenderaan, iaitu kereta Toyota Hilux bertembung dengan kereta Toyota Avanza.

“Terdapat lima orang mangsa terlibat dan berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan Pasukan Bomba di lokasi kejadian.

“Dua orang mangsa di dalam kenderaan Toyota Avanza dan tiga orang mangsa dalam kenderaan Toyota Hilux dihantar ke Hospital Beaufort oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Operasi kemudian tamat pada pukul 6.10 petang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram