
KEPENTINGAN pemakanan yang betul sering diabaikan oleh sesetengah ibu bapa ketika menyediakan hidangan untuk anak-anak.
Seorang ibu, Intan Shahira Zulaikha memberitahu, kesedaran itu mendapat sambutan melalui inisiatif komuniti yang dijalankan bertujuan memaksimakan kandungan zat makanan untuk membantu tumbesaran dalam kalangan kanak-kanak prasekolah sekali gus meningkatkan pengambilan nutrisi seisi keluarga.
“Saya belajar banyak tentang pemakanan yang sihat dan tidak sihat untuk kanak-kanak melalui program ini.
“Ini adalah satu inisiatif yang baik kerana ia membolehkan kami berlatih dan belajar bersama anak-anak kami,” katanya mengenai Program Generasi Sihat (PGS), inisiatif Persatuan Martabat Untuk Semua Petaling Jaya yang diadakan di Dewan Serbaguna PJS 2C/ 6 di Petaling Jaya, Selangor.
BACA LAGI: Mahu buat aktiviti larian tapi takut serangan asma, ketahui tip bantu elak risiko kesihatan
BACA LAGI: Alami menopaus tapi masih ada darah keluar, waspada anda mungkin ada simptom kanser rahim
Konsep Suku Suku Separuh dalam penyediaan makanan seimbang merujuk kepada pembahagian makanan yang disyorkan dalam pinggan. — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Program itu menghimpunkan ibu bapa, kanak-kanak dan guru dari Tabika Kemas Sri Melati, Petaling Jaya dan mengetengahkan kebaikan pemakanan sihat menerusi tema “Eat Right, Live Great!”.
Ketua PGS, April Chang berkata, program hands-on itu bertujuan memberi peluang kepada komuniti untuk berkumpul, berseronok sambal belajar tentang pilihan pemakanan yang sihat.
Beliau berharap program perintis itu akan memberi inspirasi kepada perubahan dalam tingkah laku yang akan membantu kanak-kanak mencapai potensi mereka termasuk mengurangkan risiko penyakit kronik di kemudian hari.
Salah satu acara kemuncak program itu ialah sesi perkongsian yang diketuai oleh Pakar Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Jasmin Syuhada.
Beliau berkongsi dengan ibu bapa mengenai kepentingan menjejaki pertumbuhan anak-anak mereka dan juga memperkenalkan konsep “Suku, Suku, Separuh” dalam penyediaan makanan seimbang.
Konsep ini merujuk kepada pembahagian makanan yang disyorkan dalam pinggan (satu perempat daripada protein, satu perempat daripada karbohidrat dan separuh bahagian sayur-sayuran dan buah-buahan).
“Kami mahu memastikan kanak-kanak membesar dengan sihat dan pemakanan seimbang menjadi sebahagian daripada rutin keluarga,” kata Dr Jasmin.
Program diakhiri dengan demonstrasi penyediaan makanan yang dibimbing oleh Pakar Pemakanan, Shankry Seenivasagam dari klinik kesihatan Taman Medan.
Beliau dan pasukannya menunjukkan penyediaan tiga resipi mesra kanak-kanak yang diisi dengan sayur-sayuran, termasuk sandwich telur, kacang kuda dan salad oren serta yogurt kosong dengan campuran buah-buahan yang dicincang.
Shankry turut menggalakkan ibu bapa untuk melibatkan anak-anak mereka dalam penyediaan makanan untuk memupuk tabiat pemakanan yang lebih sihat.
"Ibu bapa harus makan secara sihat bersama-sama dengan anak-anak mereka dan lebih aktif berkomunikasi dengan mereka, terutamanya dalam penyediaan makanan," katanya. — The Star/HAZEL TAN YAN LING
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram