MENGUBATI rindu peminat muzik 90-an, sebuah konsert Telan Kaset 90-an akan berlangsung di Festival Muzik Vit's yang diadakan di lokasi terbuka Padang Timur, Petaling Jaya, Selangor pada 12 dan 13 Oktober nanti.
Seramai 17 orang penyanyi 90-an yang bakal menggegarkan konsert berkenaan dengan lagu-lagu hits era tersebut.
Antara artis terkenal yang akan membuat persembahan adalah Rahmad Mega; Kool, Ady Wow; Aris Ariwatan; Dinamik Kasawari; Roy; Amir Ukay’s; Shidi Data; Isa Gravity; Wann; Febians; Hasnol; Shades; A To Z; Tom; Fuad; Zamani; DJ Fasha Anderson bersama Don’t Panic Buskers dan ramai lagi.
BACA LAGI: Gusti lengan, muzik sama-sama sebati dalam jiwa Daniesh Suffian
Pelbagai genre muzik seperti rock, balada, R&B, hip hop dan irama Malaysia akan dipersembahkan bermula pada pukul 8 malam hingga 11:30 malam.
Pengerusi Karyawan, Datuk Khadijah Ibrahim berkata, dia menyasarkan seramai 10,000 individu yang akan memeriahkan bersama acara berkenaan.
"Saya sasarkan lebih 10,000 peminat yang akan datang ke konsert ini kerana dalam negara kita ada pelbagai kaum yang terdiri daripada China, India, Melayu dan lain-lain.
"Dan juga kami (pihak pengurusan) ada menjemput pelancong dari luar untuk datang dan dengar konsert ini yang menyebabkan konsert ini akan berlangsung dengan lebih meriah," katanya kepada Majoriti.
Khatijah berkata, konsert ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu artis-artis senior dan para karyawan yang sedang sakit ataupun uzur yang memerlukan bantuan.
"Hasil jualan tiket konsert, dan dana yang diperolehi akan digunakan untuk membantu artis-artis senior dan para karyawan yang memerlukan," katanya.
Tidak hanya muzik yang dipersembahkan, lebih 80 booth akan dibuka dengan pelbagai jenis makanan yang kesemuanya berasaskan mi.
Tiket-tiket ke Konsert Telan Kaset 90-an boleh didapati secara atas talian bermula 16 Ogos 2024 ini pada jam 4 petang di laman web Ticket2u.com.my dengan harga RM45 seorang.
"RM45 tidak mahal kerana konsert yang lain zaman sekarang mencecah beratus ringgit.
"Malah, kami juga panggil pelajar-pelajar universiti untuk sertai pertandingan karaoke yang berlangsung dalam festival itu kerana mahu expose lagu-lagu lama kepada budak muda. Ada hadiah menanti untuk individu yang menang.
"Dari situ mereka akan belajar tentang lagu lama," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram