Hampir tarik diri kehilangan ibu mentua, Dayana Ahmad sebak dinobat juara K2K Idol


  • Hiburan
  • Ahad, 18 Ogos 2024

Dayana Ahmad menjadi juara bagi program K2K Grand Final yang diadakan di Pusat Komuniti Komersial Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada Sabtu petang.

TIDAK mudah bergelar juara, itulah kata-kata yang boleh diucapkan oleh Dayana Ahmad apabila dia merangkul johan bagi program Kita Untuk Kita Idol (K2K) Grand Final yang diadakan di Pusat Komuniti Komersial Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur pada Sabtu petang.

Vokalnya yang luar biasa berjaya mencuri hati juri sehinggakan mampu membawa pulang RM10,000 beserta trofi.

Ibu kepada tiga orang anak itu menewaskan sembilan peserta lain yang mewakili komuniti PPR Desa Tun Razak, PA Sri Sabah, PPR Taman Mulia, PPR Seri Cempaka, PPR Seri Selangor, PA Seri Sarawak, Hang Tuah dan PPR Lembah Subang 1.

BACA LAGI: Hampir tarik diri kehilangan ibu mentua, Dayana Ahmad sebak dinobat juara K2K Idol

BACA LAGI: K2K Idol bukan sekadar cungkil bakat PPR dan PPA, tapi mampu perkukuh industri seni negara

2 (1)

10 finalis yang mewakili komuniti penduduk Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA).

Wanita berusia 37 tahun itu berkata, pelbagai rintangan yang dilalui sewaktu cuba menyertai pertandingan K2K Idol itu.

"Sewaktu saya bertanding untuk memilih mana yang terbaik di antara komuniti kawasan perumahan saya pada November lepas, saya sedang mengandungkan anak ketiga, Mohamad Ariq Dayyan. Sekarang dia sudah berusia 7 bulan.

"Pada waktu yang sama juga anak kedua saya baru berusia enam tahun yang masih lasak.

"Jadinya saya struggle untuk membahagi masa dengan mengurus anak dan juga untuk mempraktis nyanyian," katanya kepada Majoriti.

Bagaimanapun, suaminya yang menjadi penyokong terkuatnya sering memberikan ruang untuknya berlatih menyanyi.

"Contohnya waktu suami saya tidak bekerja, dia akan bawa saya pergi ke pusat karaoke untuk berlatih.

"Jadinya dalam masa satu jam, suami saya akan bawa anak-anak jalan di pasar raya untuk bagi saya masa praktis seorang diri," katanya.

6201483758524284530 (1)

Dayana (kiri) dan keluarga tercintanya yang banyak menyokong dalam memasuki program nyanyian.

Tidak hanya itu, ibu mentuanya, Mariam Mokhtar juga disahkan meninggal dunia pada bulan 11 yang menyebabkan dia hampir mengambil keputusan untuk menarik diri daripada program berkenaan.

"Waktu bulan 11 tahun lepas saya dapat keputusan yang saya layak untuk ke final selepas menang lawan peserta-peserta lain yang datang daripada sama komuniti PPR iaitu PPR Kampung Baru Hicom.

"Tetapi, ibu mentua saya sewaktu itu dikejarkan ke Unit rawatan rapi (ICU). Jadinya saya terfikir untuk tarik diri," katanya.

Ajal maut di tangan Tuhan, selepas kira-kira sehari dimasukkan ke hospital, ibu mentuanya meninggal dunia yang menyebabkan suaminya memberi galakan agar Dayana meneruskan perjuangannya dalam nyanyian.

"Suami kata tidak mengapa, teruskan. Mana tahu ada rezeki bayi dalam perut. Jadinya apabila menang saya memang sangat bersyukur," katanya.

Tidak hanya itu, mengingati mentornya yang banyak menyumbang ilmu sewaktu dalam program K2K Idol membuatnya tidak dapat menahan air mata.

"Saya menangis sebab teringatkan dia (Jay Jay) punya kebaikan. Saya kali terakhir dan kali pertama jumpanya sewaktu November 2023. Saya minat sangat lagunya berjudul Rindu Bayangan.

"Dia banyak memberi sokongan yang kuat buat saya," katanya.

WhatsApp Image 2024-08-18 at 5.19.07 PM (1)

Kenangan terakhir buat Dayana Ahmad bersama Allahyarham Jay Jay sewaktu menjadi juara bagi perlawanan di antara komuniti PPR Kampung Baru Hicom.

Malah, keperibadian Jay Jay yang disifatkan sebagai seorang yang tidak kedekut ilmu menyebabkannya berani untuk beraksi di hadapan peminat.

"Abang Jay Jay beri nasihat. Katanya kepada saya, nyanyi sahaja dengan menjadi diri sendiri. Dia tidak kedekut ilmu. Tanya apa-apa pun dia sudi untuk ajar.

"Abang Jay Jay juga beritahu saya supaya tidak perlu takut apa-apa. Itulah yang paling saya suka kerana dia sangat humble.

"Kalau saya ada sesuatu yang kelihatan tidak bagus, abang Jay Jay tidak bercakap secara langsung tetapi mengeluarkan kata-kata berunsur memberangsangkan yang menyebabkan kita rasa mahu lebih berusaha," katanya.

Selepas muncul sebagai juara bagi pertandingan itu, Dayana mengimpikan untuk meneruskan perjuangannya dalam nyanyian dengan mengikuti program lain seperti Kilauan Emas.

"Dahulu teringin juga untuk masuk pertandingan macam siri televisyen, Mentor tetapi usia saya sudah tidak mengizinkan. Mungkin mahu mencuba program seperti Kilauan Emas.

"Sebabnya, saya suka mendengar lagu-lagu klasik. Saya rasa lagu lama ada vibe yang sukar dicari sewaktu zaman ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram