K2K Idol bukan sekadar cungkil bakat PPR dan PPA, tapi mampu perkukuh industri seni negara


  • Hiburan
  • Ahad, 18 Ogos 2024

10 finalis K2K Idol mengabdikan kenangan selepas bersaing untuk merangkul gelaran juara.

PROGRAM Kita Untuk Kita Idol (K2K Idol) mampu mengangkat industri seni negara lebih tinggi dengan penglibatan bakat-bakat baharu dalam kalangan komuniti perumahan awam untuk diketengahkan.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez berkata, K2K Idol memainkan peranan penting yang dapat memupuk bakat individu daripada komuniti perumahan awam.

"Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk menyerlah di pentas seni, tetapi mampu memperkukuh masa hadapan industri seni kita," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Gusti lengan, muzik sama-sama sebati dalam jiwa Daniesh Suffian

BACA LAGI: [VIDEO] Bertemu jodoh di TikTok, sikap tegas pasangan buka hati Hasnol tamatkan zaman duda Disember depan

6199751937516226610

Ramai komuniti perumahan hadir bagi memberi sokongan buat peserta program K2K Idol.

Program K2K Idol Grand Final yang berlangsung pada Sabtu di Pusat Komuniti Komersial Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur itu menyaksikan 10 finalis dari komuniti perumahan awam bersaing di hadapan lebih 5,000 penduduk perumahan awam sekitar Lembah Klang yang hadir bagi menyatakan sokongan kepada wakil masing-masing.

10 finalis itu merupakan juara K2K Idol dari 10 kawasan penduduk Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) yang telah diadakan pada edisi sebelum ini.

Mereka merupakan finalis dari PPR Desa Tun Razak, PA Sri Sabah, PPR Taman Mulia, PPR Seri Cempaka, PPR Seri Selangor, PA Seri Sarawak, Hang Tuah, PPR Lembah Subang 1 dan PPR Kampung Baru Hicom.

Antara yang hadir ke program tersebut termasuk Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Pengarah Program K2K, Dr Shahridan Faiez; Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed; mentor-mentor K2K Idol, Datuk Yusni Hamid dan Norshila Amin.

Sementara itu, Freddie berkata, program K2K Idol memberi kesan positif dalam komuniti yang tinggal di kawasan berkenaan termasuk membantu meningkatkan kesihatan mental penduduk agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih harmoni.

"Kali pertama K2K Idol ini dibuat adalah pada 2021. Sewaktu itu adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai orang berasa tertekan disebabkan masing-masing berada di dalam rumah.

"Apabila tinggal di PPR dan juga PPA, kita dalam lihat dalam satu rumah kebiasaannya memang sempit dan padat.

"Contohnya apabila sebuah bilik kecil terpaksa kongsi dua orang. Jadinya, saya terfikir untuk membuat pertandingan K2K Idol. Sewaktu itu, penyertaan menggunakan kaedah aplikasi Smule yang menyebabkan mereka tidak perlu ke luar rumah. Hanya rakam video menyanyi mereka dan hantar," katanya.

Tidak hanya itu, program itu juga mampu meningkatkan silaturahim dan menyatupadukan masyarakat daripada perumahan yang berbeza.

"Macam kita lihat dalam program ini, komuniti yang datang daripada perumahan yang berbeza sudah mulai bergaul dan mengenali antara satu sama lain.

"Jadi, ia bukan hanya pertandingan menyanyi, tetapi juga menjadi pendekatan inovatif yang menggunakan kaedah muzik bagi membawa warga perumahan awam kita bersama-sama dalam memupuk semangat kesatuan dan kekitaan," katanya.

3

Juara K2K Idol Grand Final, Dayana (paling kiri) bergambar bersama barisan tetamu kehormat.

Malah, program anjuran Persatuan Karyawan Malaysia bersama Think City itu mampu menjadikan seseorang lebih berkeyakinan untuk menonjolkan kebolehan diri mereka.

"Program ini juga dibuat supaya mereka ada confident yang lebih untuk berdiri di hadapan ramai orang. Jadinya, mereka tidak akan berada di kelompok yang sama sahaja iaitu mereka jadi berani untuk bermasyarakat.

"Ini merupakan satu platform yang bagus untuk mereka," katanya.

Selepas kejayaan menghasilkan pertandingan K2K Idol, Freddie berharap untuk meneruskan program itu pada masa akan datang.

"Program ini memang patut diteruskan, tetapi saya berharap agar dapat diluaskan lagi komuniti yang terlibat.

"Ini baru 10 perumahan awam PPA dan PPR. Rasanya ada 150 lagi perumahan awam lain. Insya-ALLAH kita akan cuba untuk mendekati komuniti-komuniti lain," katanya.

Juara K2K Idol, Dayana Ahmad dari PPR Kampung Baru Hicom berjaya memikat para juri dalam persembahannya sehingga membolehkannya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 beserta trofi.

"Persembahan yang dibuat Dayana sangat luar biasa dan keindahan vokalnya sangat cukup untuk membuktikan dia layak bergelar pemenang," kata Freddie.

Lebih istimewa, setiap finalis dari 10 PPR dan PPA turut menerima hadiah wang tunai RM1,000 sebagai penghargaan atas usaha dan semangat mereka sepanjang pertandingan sejak Julai 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram