'Followers' baru 100 orang, Yuna kesal Instagram sekat akaun kumpul dana amal Palestin


  • Hiburan
  • Jumaat, 09 Ogos 2024

Yuna kesal apabila laman Instagram bertindak menyekat akaun yang digunakan untuk mempromosikan perlawanan bola sepak amal bagi tujuan mengumpul dana Palestin.

PENYANYI dan penulis lagu, Yuna kesal apabila laman Instagram bertindak menyekat akaun yang digunakan untuk mempromosikan perlawanan bola sepak amal bagi tujuan mengumpul dana Palestin.

Menerusi hantaran di Instagram, Yuna yang bekerjasama dengan penganjur Pasukan Freedom Football tidak berpuas hati apabila akaun Instagram acara berkenaan disekat selepas mereka menyiarkan pengumuman untuk acara itu.

"Pasukan Freedom Football dan saya berkumpul untuk bersiap sedia untuk pengumpulan dana bola sepak mesra kami untuk menghantar bantuan makanan ke Palestin hujung minggu ini, dan mereka (Meta) melumpuhkan akaun Instagram @freedomfootballkl selepas kami menyiarkan beberapa pengumuman.

"Kami hanya mempunyai 100 followers (pengikut) tapi saya tak terkejut jika pengikut saya tak dapat melihat posting ini," katanya.

BACA LAGI: Penyanyi rap Nelly ditahan di kasino, miliki syabu

BACA LAGI: Lagu Taylor Swift buat rakyat negara jiran gembira, Jay Chou sebaliknya

Sebelum ini, beberapa imej barangan dan penerbitan yang ada telah disiarkan oleh pemilik nama sebenar Yunalis Mat Zara'ai itu, dengan semua hasil akan disalurkan kepada pertubuhan amal Palestin.

Penyanyi berusia 38 tahun itu berkata, banyak cabaran yang dihadapinya bagi menjayakan acara itu termasuk akaun disekat dan kesukaran mencari syarikat besar sebagai penaja.

“Kami tidak akan berputus asa. Semua hasil daripada hari ini akan disalurkan kepada Misi Penyebaran Kemanusiaan Karisma (KHOM) untuk membantu mereka dalam misi seterusnya menghantar pek makanan kepada keluarga di Gaza.

"Kepada mereka yang mendaftar untuk Freedom Football, ahli pasukan kami akan menghantar maklumat melalui e-mel kepada anda. Saya harap ia semudah berkongsi siaran. Jadi nantikan e-mel kami," katanya.

Beliau kemudiannya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan mereka dari luar negara yang telah menyumbang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram