[VIDEO] Kru kabin Alaska Airlines dedah insiden huru hara, palam pintu pesawat 'Made In Malaysia' tercabut


  • Benua
  • Rabu, 07 Ogos 2024

Pesawat milik Alaska Airlines itu terpaksa melakukan pendaratan cemas di Portland, Oregon, Amerika Syarikat selepas palam pintunya tercabut pada awal Januari tahun ini.

PENGAWAL selia syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS) yang menyiasat kecemasan udara membabitkan pesawat Boeing 737 Max 9 milik Alaska Airlines, mengeluarkan ribuan muka surat dokumen, termasuk keterangan yang menggambarkan "kekecohan" ketika insiden palam pintu tercabut yang terpampang Made In Malaysia (Buatan Malaysia) daripada pesawat berkenaan.

Perbicaraan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) mengenai insiden yang berlaku pada 5 Januari lepas membabitkan syarikat penerbangan itu berlangsung selama dua hari.

Semasa perbicaraan itu pada Khamis, pihak Boeing memberitahu pihak penyelidik, ia akan memperkenalkan perubahan reka bentuk untuk mengelakkan insiden sama berlaku pada masa hadapan.

BACA LAGI: [VIDEO] Angkara terbelit tali layang-layang, helikopter bawa 5 orang terhempas di Bali

BACA LAGI: [VIDEO] Mati atas katil, tanah runtuh timpa vila di Bali ragut 2 nyawa pelancong

[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]

HHH

Seorang guru sekolah di Portland dilaporkan menemui pintu pesawat yang tercabut di halaman belakang rumahnya.

Ledakan itu sekali gus mencetuskan krisis kedua terbesar dalam industri perkhidmatan penerbangan AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam lebih 3,000 muka surat dokumen keterangan yang dikeluarkan sebelum perbicaraan, kru pesawat menggambarkan penyahmampatan yang terhasil daripada panel semasa penerbangan.

Pembantu juruterbang pesawat yang terlibat dalam insiden itu memaklumkan kepada pihak siasatan, situasi itu sangat huru-hara.

"Terdapat dentuman yang kuat, telinga berdegup, kepala saya terhantuk pada papar pandu dan alat pendengaran yang saya pakai juga tercabut," jelasnya.

"Dan kemudian, secara tiba-tiba, ada dentuman yang sangat kuat dan bunyi desiran angin, seperti pintu terbuka," kata seorang anak kapal.

"Saya menanggalkan pelitup muka dan saya nampak langsir dapur tertarik ke arah kabin."

Pada perbicaraan itu, eksekutif Boeing membincangkan mengenai pembinaan pesawat terlibat dan kekurangan kertas kerja berhubung penjelasan pihak yang bertanggunjawab yang melakukan kerja pada pintu sebelum insiden itu berlaku.

Laporan awal NTSB memberitahu perincian maklumat berhubung empat bolt pada panel pintu itu yang hilang selepas ia dibaik pulih. Bolt itu bertindak sebagai alat untuk mengekalkan kedudukan palam pintu tersebut.

"Soal keselamatan memerlukan banyak kerja," kata Pengerusi NTSB, Jennifer Homendy. Beliau turut menegaskan, pembuat pesawat perlu mengambil langkah untuk menangani isu tersebut.

"Mereka sedang mengusahakan beberapa perubahan reka bentuk yang membolehkan palam pintu tidak boleh ditutup jika terdapat sebarang isu sehingga ia benar-benar selamat," kata Naib Presiden Kanan Boeing bahagian kualiti, Elizabeth Lund.

NTSB dan Boeing masih belum mengetahui pihak yang bertanggungjawab dalam kerja penanggalan dan pemasangan semula palam pintu tersebut. Namun, beliau berkata, dua pekerja yang mungkin terlibat kini diberi cuti.

Insiden itu merupakan tamparan hebat kepada reputasi Boeing sehingga mengakibatkan pesawat Max 9 itu digantung operasinya di seluruh dunia selama dua minggu, larangan meningkatkan pengeluaran, siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan dan perubahan pengurusan.

Syarikat itu baru-baru ini berkata, mereka akan mengaku bersalah atas tuduhan penipuan berkaitan kemalangan maut dua daripada pesawat 737 Maxnya pada lima tahun lalu.

Minggu lalu, Boeing berkata, ia telah kehilangan 1.4 bilion dolar AS bagi tempoh April sehingga Jun.

Ia juga telah menamakan veteran industri aeroangkasa dan jurutera, Robert K 'Kelly' Ortberg, sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram