MENJADI seorang pelakon ataupun pempengaruh pastinya tidak mudah memandangkan segala kegiatan mereka sentiasa diperhatikan dan menjadi tumpuan umum.
Apa sahaja gambar mahupun rakaman video yang dimuat naik menerusi media sosial kadang-kala mampu menjadi isu 'panas' meskipun mereka hanyalah berkongsi tentang perkara kecil.
Baru-baru ini, rakyat Malaysia digemparkan dengan kisah seorang pempengaruh berbangsa India, Rajeswary Appahu atau nama popularnya Esha yang didakwa menamatkan riwayatnya sendiri akibat tidak tahan menjadi mangsa siber buli.
Fazura menentang sekeras-kerasnya tentang perbuatan siber buli.
Bercakap soal itu, pelakon jelita, Fazura menganggap kisah tragis itu membuka mata orang ramai supaya peka mengenai isu siber buli yang semakin berleluasa.
"Esha dibuli sampai meninggal dunia barulah 'terbuka mata' kita semua yang isu siber buli ini sangat berat," katanya kepada Majoriti.
Fazura turut mengakui bahawa dia pernah menjadi mangsa buli siber memandangkan gerak-gerinya sentiasa mendapat perhatian ramai.
"Saya pun pernah kena siber buli as well, tetapi sebelum ini, apa yang saya buat hanyalah membiarkan sahaja benda sebegitu.
"Zaman sekarang pun semua benda kena kecam dan kita nak tutup mulut orang pun tak boleh," katanya.
Bagaimanapun, pelakon drama Pisau Cukur itu berharap adanya tindakan yang lebih tegas daripada pihak berkaitan untuk menghadapi isu ini.
"Sebenarnya, buli siber ini sudah berleluasa sangat lama. Mudah-mudahan kerajaan boleh keluarkan akta yang lebih keras lagi dan lebih tegas untuk tangani isu ini," katanya.
Pada Rabu lepas, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilapor sudah bertemu dengan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk membincangkan bagaimana langkah bersama boleh diambil dalam menjadikan ruang siber lebih selamat untuk semua orang.
Fazura (kedua kanan) ditemani Fattah Amin (kiri) sewaktu penggambaran filem di Yogyakarta, Indonesia pada Februari lepas.
Selain daripada itu, mengulas soal perkembangan semasa, Fazura meluahkan hasratnya untuk mencipta kelainan dalam industri seni dengan mengembangkan lagi bakat lakonannya di negara jiran, Indonesia.
"Kalau nak kembangkan kerjaya, why not kita buat kelainankan? Saya suka cabaran. Sebelum ini, dalam enam filem saya pernah bawakan di Indonesia.
"Alhamdulillah, untuk tahun ini saya dapat tawaran beberapa filem Indonesia, tetapi belum ada surat hitam putih jadi belum boleh diumum secara rasmi," katanya.
Tambahnya lagi, dia mengimpikan untuk membawa watak menerusi drama rantaian, sinetron kerana beranggapan pasaran bagi projek sebegitu lebih meluas.
"Memang kita tahu sinetron ini market tinggi. Tetapi episodnya sangat panjang. Contohnya macam drama di Malaysia hanya, 26 episod tetapi drama Sinetron ada yang 100 episod. Dalam 3,000 episod pun ada," katanya.
Bagaimanapun, isteri kepada Fattah Amin itu beranggapan banyak aspek yang perlu menitikberatkan sebelum memutuskan untuk menerima sebarang lakonan dalam masa yang panjang.
"Kalau saya terima lakonan yang beribu episod memang akan tinggal lama di Indonesia. Jadi kena fikirkan pasal anak-anak, suami dan perniagaan saya terlebih dahulu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram