Normah Damanhuri bersengkang mata belajar kecek Kelate demi Jogho


  • Hiburan
  • Ahad, 21 Jul 2024

Normah Damanhuri tidak cukup tidur demi memberikan persembahan yang terbaik dalam filem Jogho.

PASTINYA tidak mudah bagi seorang pelakon membawakan sesuatu watak yang memerlukan penggunaan dialek negeri lain.

Namun, aktres veteran serba boleh, Normah Damanhuri mampu menjayakan watak itu dengan sempurna dalam filem Jogho sehingga dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem dalam Anugerah Skrin 1998/99.

Normah berkata, sebagai anak jati Johor, tidak mudah untuk menggunakan sepenuhnya dialek Kelantan menerusi watak Minah yang dipegang ketika itu.

BACA LAGI: 'Jangan risau soal rezeki', Normah beri nasihat untuk generasi baharu pelakon teater

BACA LAGI: 'So many medical error', doktor kritik drama tempatan gara-gara ultrasound lipas dalam perut

"Saya bersungguh-sungguh untuk belajar dan bermati-matianlah kerana rasa suka dengan filem Jogho.

"Boleh katakan sampai tak tidurlah sebab asyik ingatkan dialog," katanya kepada Majoriti.

Malah, dia beranggapan bahawa rakannya dalam filem berkenaan, Sabri Yunus bertindak sebagai guru yang banyak membantu dalam memahirkan lagi penggunaan dialek Kelantan.

"Apabila bercakap soal dialek, Sabri jadi coach untuk saya. Kadang-kadang dia beri teguran.

"Sebagai contoh, saya kata 'pitih' pun dia ajar cara betul sebut 'pitih'...bunyinya tak perlu terlalu tebal, halus sahaja," katanya.

Selepas pergi ke Selatan Thailand dan Kelantan bagi menjayakan penggambaran, Normah mengakui berasa lebih berkeyakinan untuk menjayakan watak sebagai Minah yang fasih bertutur dalam dialek Kelantan.

"Kita masuk itu rasa macam sudah tepat untuk berdialog dalam bahasa Kelantan," katanya.

Tidak hanya itu, pengarah Jogho, U-Wei Haji Saari juga mengakui memilih pelakon yang tepat bagi membawakan watak-watak dalam filem masyarakat itu.

"Pelakon dalam filem saya memang semuanya disayangi. Sebab kalau tak sayang seseorang, kita nak tengok muka close up pun kita rasa menyampah betul tak?

"Jadi, saya cukup percaya dengan bakat dan kreativiti yang ada pada seseorang," katanya.

WhatsApp Image 2024-07-21 at 6.54.48 PM

Sedutan dalam filem Jogho arahan U-Wei Haji Saari.

Pada Jumaat, platform hiburan, SIAR bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi membuat tayangan dan apresiasi filem Jogho di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS Hulu Kelang, Selangor.

Untuk rekod, filem Jogho yang diarahkan oleh pengarah, U-Wei Haji Saari ini diadaptasi dari novel Juara oleh S. Othman Kelantan.

Jogho menggambarkan kehidupan masyarakat Melayu di Selatan Thailand yang terlibat dalam pertandingan laga lembu.

Kisahnya berpusat pada watak utama, seorang jogho (pelatih lembu), Mamat yang memimpin pasukan lembu jantannya dalam pertandingan laga lembu.

Namun, selepas memenangi pertandingan secara tak sah, dia menghadapi dendam dan konflik dengan pihak lawannya yang menuntut bela atas kematian yang berlaku akibat pertarungan tersebut.

Filem itu bukan sahaja menyoroti sukan tradisional laga lembu, tetapi juga menyentuh isu-isu sosial dan budaya, termasuk tema dendam, maruah, dan survival.

Malah, filem berkenaan juga terkenal dengan penceritaan yang mendalam dan penggambaran yang realistik tentang kehidupan masyarakat pedalaman.

Bagaimanapun, babak perlawanan lembunya dalam versi terkini filem tersebut sudah dipotong sehingga menimbulkan kekecewaan buat peminat yang pernah menonton karya asli filem tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram