Dua kali rogol anak lembam sampai beranak, penoreh getah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah


Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada Rabu.

SEORANG lelaki berusia 52 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada Rabu (24 Julai) atas dua pertuduhan merogol anak perempuannya.

Tertuduh yang merupakan seorang penoreh getah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa merogol gadis yang ketika itu berusia 19 tahun pada November dan Disember 2019 kira-kira pukul 10:30 malam di sebuah rumah di Gemencheh.

BACA LAGI: Isteri tak endah suami rogol anak hingga lahirkan 2 zuriat

BACA LAGI: Gara-gara tak cukup duit ganti pemadam, budak perempuan 9 tahun 'rela dirogol' rakan sebaya

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan itu sekali lagi di rumah sama pada 8 Julai tahun ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 10 tahun dan 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap kesalahan.

Norazihah juga meminta mahkamah memerintahkan tertuduh menjauhi mangsa.

Tertuduh juga menolak tawaran Hakim Norma ketika ditanyakan sama ada dia ingin merayu ikat jamin yang lebih rendah.

Norma kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap kesalahan dan memerintahkan tertuduh untuk tidak menghubungi mangsa.

Dia menetapkan 26 Ogos untuk sebutan seterusnya.

Polis menahan tertuduh pada 14 Julai selepas menerima laporan daripada ibu saudara mangsa.

Polis berkata, mangsa yang lembam itu turut melahirkan seorang bayi perempuan yang kini berusia empat tahun.

Mangsa merupakan anak sulung daripada empat beradik. — The Star/SARBAN SINGH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram