GARA-GARA kerap memakan ayam goreng, kanak-kanak berusia 12 tahun di Taiwan terpaksa menjalani rawatan dialisis atas masalah kegagalan buah pinggang.
Menurut seorang pakar nefrologi, Hong Yongxiang, pada setiap hari kanak-kanak berkenaan akan menghabiskan wang sakunya untuk membeli ayam goreng sebaik sahaja tamat sesi persekolahan.
Dalam tempoh setahun, kanak-kanak yang tidak didedahkan namanya itu sudah memakan terlalu banyak ayam goreng yang mengundang masalah kepada organ dalam tubuh badannya.
BACA LAGI: Jangan buat aktiviti lasak, makan 3-4 jam sebelum tidur jika sayangkan usus, nasihat pakar
Budak berusia 12 tahun terpaksa jalani rawatan dialisis gara-gara kerap memakan ayam goreng.
"Budak lelaki itu habiskan duit belanjanya untuk membeli ayam goreng sejak dia berada di darjah dua sekolah rendah.
"Dia sudah makan 200 ketul ayam dalam masa satu tahun sahaja," kata Hong Yongxiang yang ditugaskan untuk mengendalikan kes kanak-kanak itu.
Selepas diperiksa oleh doktor, didapati kanak-kanak terbabit mengalami kerosakan buah pinggang yang disahkan sebagai glomerulonephritis kronik.
Perkara itu menyebabkan kanak-kanak berkenaan terpaksa menjalani prosedur dialisis sepanjang hayatnya meskipun usianya masih muda.
Tampil memberi penjelasan lanjut, Hong Yongxiang berkata, ayam goreng bukan sahaja tinggi dengan kalori malah penggunaan minyak yang berulang mengundang risiko menghasilkan bahan berbahaya.
Antara bahan bahayanya adalah seperti Polisiklik Aromatik Hidrokarbon (PAH), amina isosiklik, dan akrilamida yang tidak baik untuk buah pinggang dan kesihatan keseluruhan.
"Kesihatan buah pinggang sangat penting. Makanan yang kandungannya miliki lemak, gula, kalori dan garam yang tinggi mesti dielakkan dalam kehidupan harian.
"Makanan yang diproses, miliki kandungan logam berat dan plastik juga perlu dielakkan," katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram