Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu nafi peningkatan kes rotavirus, nasihat sentiasa cuci tangan selepas guna tandas, tukar lampin anak


  • Sihat
  • Isnin, 15 Jul 2024

Dr Kasemani Embong menjelaskan bahawa hanya terdapat dua kes mengenai rotavirus di Terengganu. — Gambar hiasan

SELEPAS tular peningkatan kes rotavirus di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT) tampil menjelaskan bahawa hanya terdapat dua kes yang dilaporkan setakat ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Terengganu mendapati dua kes tersebut terjadi pada 7 dan 13 Julai lepas yang membabitkan kanak-kanak.

Bagaimanapun, beliau berkata, pesakit terbabit berada dalam keadaan stabil dan sudah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan berkaitan.

BACA LAGI: Elak tenat di ICU akibat jangkitan semula penyakit, doktor jelas kepentingan habiskan antibiotik

BACA LAGI: Talasemia tidak terjadi kerana saka, tapi disebabkan genetik — Pakar perubatan

2669895

Datuk Dr Kasemani Embong menjelaskan tentang rotavirus.

“Ada dakwaan melalui Facebook pada 13 Julai lalu bahawa terdapat peningkatan kes rotavirus di HSNZ, dan ia dikhuatiri akan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam.

“Hasil siasatan lanjut mendapati hanya dua kes telah disahkan mendapat jangkitan, iaitu pada Minggu Epidemiologi ke-28,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani menjelaskan rotavirus adalah sejenis virus yang menyebabkan jangkitan sistem pencernaan.

Penyakit itu boleh berjangkit sama ada melalui makanan tercemar atau sentuhan secara langsung dengan individu dijangkiti dan peralatan atau alat mainan yang tercemar.

Bagi pesakit dewasa, beliau berkata, gejala dialami adalah ringan berbanding kanak-kanak yang boleh menyebabkan demam, cirit-birit dan muntah teruk.

“Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan sentiasa mencuci tangan selepas menggunakan tandas, menukar lampin anak dan menyediakan makanan.

“JKNT akan sentiasa memantau perkembangan terkini jangkitan rotavirus serta penyakit berjangkit lain.

"Di samping itu, kami juga meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan secara berterusan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram