DALAM kesibukan belajar, seorang gadis kreatif mengubah suai barangan terpakai sehingga bertukar bentuk menjadi sebuah beg.
Gadis berkenaan, Teoh Wei Ean merupakan pelajar jurusan kejuruteraan elektrikal dan elektronik di Taylor's Universiti Subang, Subang Jaya, Selangor.
Pastinya ramai terpesona melihat hasil kerja gadis itu yang menggabungkan dua fabrik yang berbeza untuk dicantumkan bagi menjadi sebuah beg.
BACA LAGI: Talasemia tidak terjadi kerana saka, tapi disebabkan genetik — Pakar perubatan
BACA LAGI: Doktor ulas kes buah pinggang kering dihidapi anak kedua Eyra Hazali
Orang ramai mencuba untuk menghasilkan sendiri beg dengan menggunakan pakaian di Program Kita Pakai Balik di Plaza Shah Alam, Selangor.
Teoh berkata, dia mulai mempelajari rekaan sebegitu menerusi pembelajaran di internet.
"Idea ini datangnya dari internet. Cumanya kalau di internet biasanya orang akan jahit fabrik untuk gabungkan dengan fabrik yang lain.
"Tetapi saya rasa kalau jahit worksyop akan makan masa terlalu lama sehingga anggaran dua jam," katanya kepada Majoriti.
Menginovasi penggunaan dalam pembuatan beg, Wei Ean menggunakan gam fabrik yang dibeli di kilang kain bagi menggantikan proses jahitan.
"Saya sudah cuba basuh beg ini dalam cucian di mesin basuh untuk lihat tertanggal atau tidak. Tidak tanggal sama sekali. Tetap kuat gamnya.
"Sebab teknik buat beg guna gam hanya memakan masa 15 minit berbanding menggunakan jahitan," katanya.
Berkongsi ilmu yang ada, terdapat dua bengkel yang diadakannya iaitu menerusi program Kita Pakai Balik dan program di Taylor's Universiti.
"Kita sediakan kain terpakai untuk diubahsuai. Dengan cara ini individu lain boleh cuba sendiri hasilkan beg dengan sendiri," katanya.
Tidak hanya itu, minatnya dalam menjual barangan terpakai menyebabkan dia mampu mencipta satu aplikasi khas iaitu Kitamy.co untuk memudahkan semua masyarakat menjual barangan thrift.
"Waktu itu tahun 2022, saya cuba belajar untuk create aplikasi yang boleh jual barangan-barangan lama yang masih elok," katanya.
Lebih istimewa, tidak hanya pakaian yang boleh dijual malah meliputi pelbagai barangan lain yang sudah tidak mahu dipakai.
"Sebenarnya, rakyat Malaysia membuang 600,000 tan sisa kain setiap tahun. Jadi, kita benar-benar mempunyai terlalu banyak pakaian dan sudah tiba masanya untuk fikir semula tentang apa yang boleh dijual.
"Semua orang boleh buka akaun di Kitamy.co untuk jual barangan yang ada. Boleh beli barangan yang diminati juga di situ. Boleh kosongkan almari yang penuh dengan barangan yang tidak digunakan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram