Kes jantung menggelepar, beri CPR bergilir-gilir 3 minit bantu organ pam semula darah


  • Sihat
  • Khamis, 04 Jul 2024

Keadaan pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie yang menggelepar sewaktu perlawanan di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia.

BARU-BARU ini, peminat badminton dikejutkan dengan berita sedih mengenai kematian seorang kes pemain badminton remaja China, Zhang Zhi Jie akibat serangan jantung ketika perlawanan di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia.

Bagaimanapun, tindakan penganjur dalam rakaman video yang kelihatan teragak-agak dalam memberikan bantuan kecemasan sejurus pemain itu rebah menjadi buah mulut masyarakat.

Perkara itu turut menjadi perhatian seorang pakar perubatan, Dr Malar Santhi Santherasegapan yang lantang bersuara tentang kes itu bagi mengelak kejadian yang sama terjadi kepada individu lain.

BACA LAGI: Daging baru sembelih sebenarnya tak elok terus dimasak, enzim aktif boleh jadi punca darah tinggi

BACA LAGI: Kerap 'berembun', balik lewat malam tingkatkan risiko hidap radang paru-paru

Menerusi hantaran di Facebook, Dr Malar menjelaskan situasi yang berlaku terhadap Zhi Jie sewaktu mula-mula jatuh tertiarap di tengah-tengah gelanggang.

"Nampak tak dia (Zhi Jie) menggelepar waktu itu? Kemungkinan besar sewaktu itu jantung dia pun menggelepar juga kita panggil Ventricular Fibrillation (VF) ataupun Pulseless Ventricular Tachycardia (Pulseless VT)," katanya.

Dr Malar berkata, sesiapa sahaja yang berdepan situasi tidak terduga sebegitu perlu menjalankan tanggungjawab untuk menyelamatkan nyawa individu terbabit terlebih dahulu.

"Tidak perlu merasakan takut untuk melakukan prosedur resusitasi kardio-pulmonari (CPR).

"Anda tidak boleh didakwa dan disaman, kononnya salah bagi CPR atau sampai patah tulang rusuk mangsa. Ada perlindungan undang-undang untuk pemberi bantuan, jadi tidak perlu takut.

"Hanya takut kepada Tuhan yang akan soal suatu hari nanti yang akan bertanya mengapa tengok saja, tidak buat apa-apa dan tidak jalankan tanggungjawab," katanya.

Menurut Dr Malar, perkara pertama yang perlu dilakukan individu berhampiran mangsa apabila berdepan situasi sebegitu adalah memeriksa respon mangsa.

"Jika tiada sebarang respon, jerit segera meminta bantuan dan meminta peranti defibrillator luaran automatik (AED) dibawa ke lokasi kecemasan.

"Kemudian, anda sendiri perlu mulakan CPR. Jangan toleh kiri kanan depan belakang cari orang lain.

"Tidak kisah sama ada anda pernah belajar CPR, tidak pernah buat CPR, pernah belajar tapi sudah lupa atau takut, tolak tepi semua perasaan takut itu," katanya.

Dr Malar turut mengajar cara untuk melakukan CPR yang perlu diberi perhatian semua individu.

"Ambil kedua-dua tapak tangan dan letakkan dekat tengah-tengah dada mangsa. Terus mulakan CPR dengan menghenjakkan bahu anda ke bawah dan berikan tekanan sekuat mungkin.

"Jangan takut mangsa sakit kerana orang itu tiada nadi pun, jangan juga takut terpatah tulang rusuknya.

"Terus sahaja berikan tekanan CPR kepada mangsa dengan harapan jantung dia boleh mengepam kembali," katanya.

1315073_720

Zhi Jie meninggal dunia akibat serangan jantung ketika perlawanan.

Dr Malar turut menyarankan agar individu lain yang berada di sekeliling mangsa terus peka dan bersedia bagi menggantikan posisi seseorang yang membantu mangsa dalam melakukan CPR.

"Biasanya dalam dua ke tiga minit buat CPR, anda akan penat.

"Pastikan ada orang di sekeliling anda yang boleh ganti membuat CPR ini sehingga bantuan profesional seperti ambulans atau paramedik sampai," katanya.

Sebelum ini, jurucakap Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI), Broto Happy mempertahankan tindakan pasukan perubatan dan penganjur yang dilihat teragak-agak dalam memberikan bantuan kecemasan sejurus pemain itu rebah di dalam gelanggang.

"Pasukan perubatan perlu menunggu kebenaran daripada pengadil sebelum boleh memasuki gelanggang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram