GELAGAT penyanyi Siti Nordiana bersama anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie seringkali mencuit hati ramai peminat terutama pengikutnya di media sosial.
Manakan tidak, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa sebagai Nana tidak henti-henti memuat naik rakaman video TikTok bersama anak tunggalnya itu.
Baru-baru ini, Nana bersama Rayyan dilihat seronok meluangkan masa bersama di Jepun yang seakan-akan seperti sudah menjadi 'perkampungan' bagi Nana.
BACA LAGI: [VIDEO] Ketagih jadi taruhan, Jamal Abdillah tidak tahu anak sulung bukan vokalis Cheery On Top
Siti Nordiana (kanan) bersama anak bujangnya, Rayyan (kiri) sewaktu berada di Jepun.
Nana berkata, dia suka memilih Jepun sebagai lokasi percutian memandangkan anaknya itu gemar membeli permainan di sana.
"Kalau di Jepun, memang permainan murah di sana berbanding harga di Malaysia, kita pun tahu Jepun terkenal sebagai tempat banyak mainan," katanya kepada Majoriti.
Pelantun lagu Memori Berkasih itu turut mendedahkan bahawa itu merupakan kali keempat mereka menjejakkan kaki ke negara paling tua di Asia itu.
"Trip kali ini Nana pergi bersama Rayyan dan juga kawan-kawan saya yang lain. Mereka juga bawa anak masing-masing.
"Kita bawa remaja memang lebih have fun dekat sana," katanya.
Siti Nordiana sering menjadikan Jepun sebagai lokasi percutian.
Nana berkata, percakapan anaknya dalam Bahasa Inggeris semakin bagus sejak rancak bermain permainan video bersama kenalan di media sosial yang datangnya daripada pelbagai negara berbeza.
Malah sebelum ini, Siti Nordiana pernah mendedahkan bahawa dia meminta anaknya itu untuk menyemak sebutan bunyi Bahasa Inggerisnya Ketika berlatih untuk membawakan lagu nyanyian asal Britney Spears, ...Baby One More Time dalam pertandingan All Stars Gegar Vaganza (GV10) pada tahun lalu,
"Ada rakan dia daripada macam-macam negara berbeza macam Filipina. Kadang dengar dia bersembang dengan rakan-rakan guna Bahasa Inggeris.
"Jadi Nana tidaklah terlalu menghalang dia bermain permainan video. Nana juga rasa dari segi percakapan dia dalam bahasa Inggeris sangat baik berbanding Nana sewaktu berada di usianya," katanya.
Meskipun sering membenarkan anaknya bermain permainan video, Nana juga bijak membahagikan masa agar anaknya memperoleh pendidikan dengan secukupnya.
"Nana akan pantau masa dia bermain di rumah supaya menggunakan masa dengan betul. Kalau tak Nana akan beritahu dia terpaksa tarik semula game, tarik semula telefon.
"Dalam sehari Nana hadkan untuk main game dalam tiga jam sahaja. Nana juga ada hantar Rayyan untuk ke tuisyen.
"Ingatkan dia jangan lupa solat dan juga tolong nana basuh pinggan," katanya.
Untuk rekod, Nana dan seorang pelakon iaitu Allahyarham Faizal Yusup mendirikan rumah tangga pada tahun 2006 namun disahkan bercerai pada tahun 2009.
Pada tahun 2011, Allahyarham Faizal meninggal dunia akibat serangan jantung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram