Aliff Aziz, Ruhainies mengaku tak bersalah berkhalwat


Aliff Aziz (kanan) dan Ruhainies (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Rabu.

DUA pelakon sensasi, Aliff Aziz dan Ruhainies mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan berhubung kes khalwat pada 9 Mac lepas ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Rabu.

Memetik laporan The Star, Aliff dan Ruhainies yang diwakili peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan hakim, Abu Suffian Abu Yaziz.

Pendakwaan dibuat oleh Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Nahar Mohamad dan Masroha Duki.

BACA LAGI: 'Perpisahan lindungi daripada perkahwinan tak sihat', Fasha Sandha pesan ada pelangi lepas hujan buat Bella Astillah

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya fikir ini jalan terbaik', Bella Astillah tuntut cerai, Aliff sibuk 'shooting' tak hadir di mahkamah

2590083

Bella Astillah dan Aliff Aziz sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 13 Jun lepas.

“Kedua-dua hadir pada Rabu bersama peguam Hadi Salleh dan Amirul Ashraf Ghani. Kes ini disebut pada 20 Jun lalu di Mahkamah Rendah Syariah, tiada sebarang pengakuan dan tangguhan juga sudah dibuat serta dilepaskan dengan bon jaminan RM1,500 dan seorang penjamin,” kata Masroha ketika dalam dewan bicara.

Aliff selepas pertuduhan dibaca turut mengaku tidak bersalah.

“Saya mengaku tidak bersalah,” katanya.

Ruhainies turut membuat pengakuan sama.

“Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya.

Prosiding diteruskan dengan perbicaraan dengan kehadiran saksi daripada pihak tertuduh.

Mahkamah menetapkan 12 Oktober depan sebagai tarikh seterusnya dan bon jaminan dilanjutkan sehingga tarikh tersebut.

Pertuduhan terhadap mereka didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Seksyen 27 (b) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 20 Jun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin terhadap kes khalwat yang dilaporkan berlaku di sebuah kondominium mewah yang terletak di Kuala Lumpur pada 9 Mac lalu.

Selepas dibawa ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk disoal siasat, Aliff dan Ruhainies masing-masing dibebaskan dengan jaminan kira-kira pukul 2 petang, pada hari sama.

Untuk rekod, Aliff dan bekas isterinya, Bella yang mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, bercerai talak satu pada 13 Jun lepas.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram