Banglo dirobohkan, pemaju tidak tahu milik Allahyarham biduanita Sharifah Aini


  • Hiburan
  • Selasa, 02 Jul 2024

Kediaman milik Allahyarham Datuk Sharifah Aini di Petaling Jaya, Selangor sudah dirobohkan. — Facebook

BANGLO dua tingkat milik biduanita Allahyarham Datuk Sharifah Aini di Petaling Jaya, Selangor kini hanya tinggal kenangan selepas dirobohkan syarikat pemaju, Al-Anbia Sdn Bhd pada bulan lalu.

Menurut laporan Astro Awani, pada awalnya, wakil syarikat pemaju, CT Tang, tidak mengetahui tapak dan kediaman yang dibeli itu merupakan milik penyanyi terkenal terbabit.

Tambah Tang, syarikat Al-Anbia membeli kediaman itu dengan harga sekitar RM4 juta dan terkejut apabila mendapati banyak koleksi kaset dan cakera padat (CD) milik Allahyarham di dalam kediaman mewah berkenaan.

BACA LAGI: Adegan Zahirah MacWilson merokok demi jayakan watak, Public Health tegur artis kena tegas letak garis sempadan

BACA LAGI: Ayu Ting Ting nafi putus tunang sebab pasangan sengkek

“Saya masuk ke salah satu bilik, saya nampak banyak kaset, CD lama milik Sharifah Aini. Saya terkejut. Sebelum proses robohkan rumah dijalankan, saya tidak tahu itu rumah dia (Allahyarham Sharifah Aini).

"Saya tertanya-tanya ini siapa punya rumah. Rumah ini datang dengan reka bentuk dan kayu mahal yang lama. Semua kaset disusun rapi dalam bilik tersebut," katanya.

Tang berkata, projek yang sedang dibangunkan di atas tapak rumah itu merupakan sebuah bangunan pejabat pengurusan tiga tingkat yang dijangka siap dalam masa sekitar tiga bulan.

Tambahnya lagi, dia turut kagum dan memuji reka bentuk asal banglo besar bernombor 42 yang berkeluasan 20,000 kaki persegi itu.

"Memang sangat cantik reka bentuk rumah asal ini," katanya.

Sementara itu, seorang buruh yang ditemui di tapak itu berkata, sebuah lori membawa keluar semua kaset dan CD milik Allahyarham sekitar bulan lalu.

Seorang kenalan terdekat Allahyarham yang tidak mahu dikenali turut menyatakan bahawa barangan peribadi Allahyarham terutama yang berkaitan kerjaya seninya sudah dipindahkan ke tempat lain.

Beliau berkata, tujuan anak Allahyarham, Aliff Omar Ali, menjual banglo berkeluasan 20,000 kaki persegi itu adalah disebabkan terlalu besar untuknya empat beranak berteduh selain kos penyelenggaraan terlalu tinggi.

"Rumah itu terlalu besar untuk didiami empat beranak. Itu tidak termasuk kos selenggara yang mahal. Saya difahamkan bil elektrik sahaja mencecah RM2,000 sebulan. Aliff tiada pilihan lain selain menjual rumah tersebut.

"Pada pandangan saya, kerajaan sepatutnya mempunyai inisiatif untuk membeli seterusnya memelihara dan mempromosi kediaman termasuk barangan penyanyi legenda itu.

"Ini memandangkan Allahyarham merupakan seorang biduanita negara dan sudah semestinya dapat memberi peluang kepada para peminat dan orang ramai melihat sendiri daripada dekat. Namun segala keputusan terpulang kepada Aliff sebagai satu-satunya anak Allahyarham," katanya.

Tambah kenalan Allahyarham itu, dia turut berasa sedih memandangkan banyak memori sempat dilalui dalam banglo itu.

"Ketika arwah masih ada, saya sering ke sana. Meluangkan masa bersama ketika arwah sudah tidak berapa sihat," katanya.

Difahamkan juga, perabot serta barangan besar lain dijual sedikit demi sedikit kepada rakan serta ahli keluarga lain selepas fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Terdahulu, khabar penjualan hartanah berkenaan mula bertebaran empat tahun selepas pemergian Allahyarham apabila diiklankan pada harga RM8 juta menerusi Facebook.

Pada iklan berkenaan turut ditulis banglo tersebut adalah kepunyaan seorang penyanyi popular tetapi dirahsiakan identitinya.

Kediaman gah itu juga sering dijadikan tempat pertemuan dengan rakan media, menjamu kenalan serta mengadakan majlis doa selamat yang turut dihadiri anak-anak tahfiz. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram