Kena kencing tikus sampai ditidurkan, peka bahaya penyakit bawaan mamalia


  • Sihat
  • Khamis, 20 Jun 2024

Penyakit kencing tikus perlu diberi perhatian kerana boleh menjadi punca maut.

SEJAK minggu lepas, banyak kes jangkitan kencing tikus yang terjadi di Malaysia sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Malah, pada Selasa, dua mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Kedah selepas bermandi manda di Lata Bayu, Baling, Kedah.

Perkara itu tidak boleh diambil remeh susulan keadaan penyakit ini yang menjadi teruk boleh mengundang maut.

BACA LAGI: 33 pengunjung Kolam Air Panas Jasin kena kencing tikus, pusat rekreasi diarah tutup serta-merta 14 hari

BACA LAGI: 'Pilih yang tak retak', telur boleh menjadi bahaya jika tak dikendalikan dengan sempurna

WhatsApp Image 2024-06-19 at 9.38.36 PM

Eden Borhan ditidurkan gara-gara terkena penyakit kencing tikus.

Menerusi satu hantaran di Facebook, seorang pengguna, Eden Borhan meluahkan pengalamannya pernah terkena kencing tikus sehingga terpaksa ditidurkan di hospital.

"Leptospirosis hampir buat aku hilang nyawa. Alhamdulillah berkat doa dari keluarga, rakan-rakan aku bangun dari koma selama 10 hari.

"Empat kali aku pergi ke klinik dan ambik darah dan tiga kali gagal kesan bakteria ni. Kali ke empat baru doktor dapat kesan dan suruh pergi ke hospital.

"Bila sampai hospital terus masuk zon merah sbb masa tu oksigen dalam badan tersangatlah teruk. Dalam 30 minit macam tu doktor panggil isteri aku untuk bagitahu keadaan aku sangat kritikal dan terpaksa ditidurkan," katanya.

Lebih parah, Eden Borhan perlu menjalani dialisis sewaktu ditidurkan kerana tidak boleh buang air dan alami kencing berdarah.

Meskipun sekarang dia sudah pulih, Eden berpesan agar masyarakat lebih berhati-hati sewaktu bermandi- manda di air terjun atau sungai.

"Buat pengajaran nak seronok-seronok mandi sungai atau air terjun boleh tapi tengok keadaan sungai tu dahulu," katanya.

2746093

Penyakit kencing tikus merupakan satu penyakit serius yang boleh membawa maut.

Bercakap soal itu, pakar perubatan, Dr Zubaidi Ahmad menerusi YouTube berkata, leptospirosis selalunya menjangkiti satu individu ke individu yang lain melalui air kencing haiwan.

"Hampir semua jenis haiwan mamalia iaitu tikus, anjing, kuda atau lembu boleh dijangkiti kencing tikus tetapi tidak akan menunjukkan simptom," katanya.

Tambahnya, haiwan yang dijangkiti akan mencemarkan tanah dan air dengan bakteria Leptospira sebelum merebak kepada binatang atau manusia lain.

Katanya lagi, seseorang boleh dijangkiti leptospirosis apabila terrsentuh air kencing atau cecair badan haiwan yang dijangkiti.

Tidak hanya itu, seseeorang juga berpotensi dijangkiti apabila air atau tanah yang dicemari termasuk ke dalam mata, hidung, mulut atau melalui luka pada kawasan kulit.

"Kencing tikus boleh merebak selepas hujan lebat dan banjir yang kemudiannya mengalir memasuki sungai dan tasik," katanya.

Antara simptom penyakit leptospirosis yang akut adalah demam panas, mata merah, pening kepala, rasa sejuk, menggigil, sakit otot, sakit perut, cirit-birit selain naik ruam pada badan.

Dr Zubaidi berkata, seseorang yang mengalami simptom perlulah berjumpa dengan doktor secepat mungkin kerana kebanyakan penghidap penyakit leptospirosis berpotensi sembuh seperti biasa.

"Sebahagian kes leptospirosis tidak menunjukkan simptom yang serius. Ia akan pulih seperti sediakala walaupun tanpa rawatan.

"Namun, jika pesakit dibawa ke hospital secepat mungkin, kebarangkalian untuk mereka sembuh adalah sangat tinggi," katanya.

Bagaimanapun, satu peratus daripada penghidap kencing tikus akan mengalami sindrom Weil.

"Sindrom ini boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat secepat mungkin," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram