33 pengunjung Kolam Air Panas Jasin kena kencing tikus, pusat rekreasi diarah tutup serta-merta 14 hari


  • Primer
  • Khamis, 13 Jun 2024

Seramai 33 individu yang mengunjungi Kolam Air Panas Jasin, Melaka disyaki dijangkiti kencing tikus sejak minggu lepas. — Gambar Hiasan

SERAMAI 33 individu termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah di Melaka disyaki dijangkiti wabak Probable Leptospirosis atau kencing tikus selepas mengunjungi Kolam Air Panas Jasin, Melaka pada minggu lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), Dr. Ruzita Mustaffa berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah telah menerima notifikasi mengenai sekumpulan pelajar mengalami gejala selepas mengikuti program terapi air di pusat rekreasi berkenaan pada Jumaat lepas.

Menurut Dr Ruzita, gejala yang dialami adalah demam, batuk, selesema dan sakit badan.

BACA LAGI: 'Pilih yang tak retak', telur boleh menjadi bahaya jika tak dikendalikan dengan sempurna

BACA LAGI: Anak kena kudis buta sampai kuku tercabut, doktor kongsi petua elak kutu berjangkit

448349972_852992543530198_2774664509015423071_n

Kolam Air Panas Jasin ditutup selama 14 hari. — Facebook

"Seramai 15 pelajar, sembilan guru dan tiga penjaga telah mengalami gejala selepas ke kolam tersebut pada Rabu lepas. Lima daripada mereka iaitu empat pelajar dan seorang penjaga dimasukkan ke wad Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.

"Manakala individu bergejala yang lain telah diberi rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan (KK) Ayer Keroh," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, sampel klinikal pesakit telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan (MKAK) Sungai Buloh untuk ujian pengesahan Leptospirosis.

"Selain daripada itu, sebanyak enam kes baharu disyaki Leptospirosis telah dikesan dalam kalangan orang awam yang berkunjung ke Kolam Ayer Panas Jasin sejak Jumaat lepas hingga Selasa.

"Setakat ini jumlah keseluruhan kes yang disyaki adalah 33 kes.

"Kesemua kes masih menunggu keputusan ujian pengesahan," katanya.

Sebagai langkah kawalan, pusat rekreasi tersebut diarahkan ditutup serta-merta selama 14 hari bermula 8 Jun 2024 dan pengusaha diarahkan untuk menjalankan kerja- kerja pembersihan.

"Pengusaha juga diminta untuk menukar air kolam secara kerap mengikut jadual, menjaga kebersihan dan memastikan tiada infestasi tikus atau haiwan pembawa penyakit lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram