SIAPA sahaja tidak mengenal penyair yang juga merupakan seorang pelakon, Pyanhabib. Nama beliau mula melonjak dalam arena lakonan apabila terlibat dalam filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ) sebagai Osman Tikus.
Malah, menerusi platform hiburan, SIAR juga pernah menganjurkan tayanga wayang pacak filem KSJ untuk memberi peluang kepada orang ramai mengetahui mengenai filem itu yang bertujuan untuk membenteras kegiatan memerah buah fikiran dan tenaga penggiat industri muzik yang begitu berleluasa ketika itu.
Sejak itulah, Pyanhabib mulai terlibat sebagai pelakon menerusi filem seperti Tsu Feh Sofiah, Rozana Cinta 87, Tak Kisahlah Beb, Mat Som, Rock Oo!, Apokalips X dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium.
BACA LAGI: Sopan di sebalik 'lu, gua', Pyanhabib penyajak penting tahu isi tulang dan luar dalam KL
BACA LAGI: SIAR: Ketahui kisah silam Ibrahim Din, bintang filem Do Re Mi
Pyanhabib merupakan seorang penyair yang disukai ramai.
Detik-detik yang sukar dilupakan adalah sewaktu beliau tercalon dalam kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-6.
Festival itu turut dihadiri orang kenamaan seperti Timbalan Perdana Menteri sebelum ini, Allahyarham Tun Ghafar Baba.
Namun, dengan beraninya seniman itu mengambil keputusan untuk menolak anugerah tertinggi yang diberikan kerana tekad dengan prinsipnya.
Sampai ke hari ini, difahamkan hanyalah Pyanhabib satu-satunya pelakon Malaysia yang berani menolak pengiktirafan tertinggi dalam industri filem tempatan.
Walaupun bergelar bintang layar lebar, Pyanhabib lebih terkenal dalam kalangan peminat sastera kerana imejnya yang rugged.
Potongan rambutnya yang panjang beserta seluar denim lusuh yang sering dipakai sememangnya menonjolkan penampilan seperti anak seni yang sebenar.
Membawakan puisi-puisi unik, karya sasteranya yang bernilai tinggi itu sememangnya suatu perkara yang istimewa buat rakyat Malaysia.
Persembahannya sentiasa memukau, bait-bait bahasanya sentiasa sampai ke lubuk hati sanubari khalayak yang mendengarnya.
Meskipun kita sudah kehilangan 'jasad' seniman terkenal itu, karya-karyanya masih terus dikenang sehinggakan puisi yang ditulis hangat digunakan di media sosial.
Azuan Affendy (kiri) gembira pernah bertemu dengan Pyanhabib.
Seorang peminat, Azuan Effendy berkata, sajak Allahyarham yang sangat digemarinya berjudul Bapakku Seorang YB.
Bapaku YB, aku penyangak,
masing-masing putar belit,
masing-masing pintar teori
masing-masing isi tembolok dan perut sendiri,
Bapaku YB di negara demokrasi,
Jadi Yb tidak habis-habis berkelahi,
Bapaku Yb di negara demokrasi,
Di parlimen tidak habis-habis kena maki!"
[Petikan sajak Bapaku Seorang YB oleh Pyanhabib]
"Tak puas saya mendengar Allahyarham mendeklamasikan puisinya itu. Karyanya sentiasa segar, kritisnya sentiasa tajam.
"Bagi saya, Almarhum adalah ikon seniman jalanan yg tulen, yang berkarya dengan ikhlas dan bukan untuk membodek atau mencari populariti," katanya.
Meskipun ditakdirkan memiliki masalah pendengaran sewaktu berusia 12 tahun akibat demam panas, fikiran dan perjuangannya khusus dalam bidang puisi yang dicintainya tak pernah 'hilang.
Lelaki berasal Taiping, Perak itu juga aktif membaca puisi pada era 80-an di sekitar Pasar Seni selain majlis-majlis lain sehinggakan dikatakan sangat memahami isi dalam dan luar Kuala Lumpur.
Tidak hanya itu, ramai juga terpaku mendengar penyair legenda itu membacakan sajak di hadapan bangunan Pasar Seni dalam filem Nasir Jani Rozana Cinta '87.
Pyanhabib aktif menulis dan membaca puisi sejak era 70-an.
Beliau mula aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama kumpulan seni iaitu Anak Alam.
Banyak juga buku yang telah ditulis seperti berjudul Balada Pyanhabib, Dialog Kecil Pyanhabib: Bonus, Teruskan Saja, Bib! dan Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-Puisi Pyanhabib.
Buku-bukunya itu diterbitkan menerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Kuala Lumpur.
Untuk rekod, Pyanhabib meninggal dunia pada Selasa lepas dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Hulu Kelang pada pukul 11.25 pagi Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram