PEMINAT seluruh negara bimbang tentang keadaan pelakon tersohor Bollywood, Shah Rukh Khan yang dikejarkan ke Hospital Ahmedabad, Gujarat, India akibat strok haba dan dehidrasi pada Selasa.
Sebelum ini, pelakon Kuch Kuch Hota Hai itu berada di Ahmedabad, India untuk menyaksikan perlawanan kriket, Indian Premier League (IPL) membabitkan pasukan Kolkata Knight Riders (KKR) dan Sunrisers Hyderabad (SRH).
Ketika perlawanan, aktor berusia 59 tahun itu ditemani anaknya, Suhana dan Abram sambil melayan peminat-peminat yang teruja menemuinya.
BACA LAGI: IWK respons kontroversi tajuk teater ‘Najis Jadi Teman’, mahu sedarkan masyarakat
BACA LAGI: Tak jaga makan, terlalu sibuk berlatih menari, Mimi Fly dedah pernah koyak otot paha
Shah Rukh Khan menyaksikan perlawanan kriket, Indian Premier League (IPL) di India.
Selepas selesai perlawanan, Shah Rukh Khan yang sinonim dengan gelaran SRK tiba di Narmada Hotel, India namun keadaannya semakin teruk sehingga menyebabkan terpaksa dikejarkan ke hospital.
SRK diserang strok haba dan dehidrasi berikutan cuaca panas melampau di Ahmedabad apabila dilaporkan suhu mencecah 45.2 darjah Celcius pada Selasa lalu dan 45.9 darjah Celcius pada Rabu.
Bagaimanapun, selepas menerima rawatan, pelakon yang dianugerahkan pingat Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) dan membawa gelaran Datuk pada 2008 itu dilapor sudah dibenarkan keluar dari hospital dan keadaannya kini stabil, selain dinasihati untuk mendapatkan rehat secukupnya.
Sejak beberapa tahun lalu, suami Gauri Khan itu pernah mengalami masalah kesihatan lain seperti kecederaan bahu dan retak di bahagian tulang ketika menjalani penggambaran. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram