PELAKON Bront Palarae meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pemimpin persatuan bola sepak dan orang penting dalam liga yang dilihat kurang mengambil berat mengenai isu pemain sayap lincah Selangor FC, Faisal Halim yang berdepan kejadian simbahan asid di pusat beli-belah terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Seperti yang diketahui ketika ini, Faisal Halim mengalami kecederaan fizikal di beberapa anggota badan akibat simbahan cecair asid.
Terbaharu, Faisal dijangka berada dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sekurang-kurangnya selama 10 hari selepas dilaporkan menjalani pembedahan peringkat dua di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor.
Pembedahan itu dilakukan selepas dua hari menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam.
Dalam insiden serangan pada Ahad itu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah dengan asid oleh individu tidak dikenali.
BACA LAGI: 'Tiada lagi siuu?', Faisal Halim berisiko terpaksa gantung but lebih awal
Bront Palarae kecewa dengan sikap pemimpin yang acuh tak acuh mengenai isu pemain bola sepak diserang individu tidak dikenali.
Bercakap soal itu, menerusi satu hantaran di laman X, Bront Palarae beranggapan sikap segelintir pemimpin yang tidak terlalu mengambil peduli dilihat seolah-olah mencurigakan.
"Aset negara (pemain kebangsaan) disimbah asid. Reaksi rakyat marah dan terkejut itu normal. Reaksi pucuk pimpinan persatuan dan liga yang acuh tak acuh ini sangat mengecewakan dan mencurigakan," tulisnya.
Meskipun disanjung peminat tatkala menyarung jersi Harimau Malaya, namun keselamatan penyerang sayap berusia 26 tahun itu terancam individu dipercayai angkara perbuatan khianat yang tidak diketahui.
BACA LAGI: Kereta kena pecah, Safiq Rahim pemain bola ke-3 jadi mangsa jenayah
Keadaan awal Faisal Halim selepas mengalami serangan asid pada Ahad lalu.
Sebelum ini, Akhyar Rashid menjadi mangsa pertama apabila dilaporkan cedera parah di kepala akibat kegiatan samun di Terengganu pada Khamis lepas.
Pada Ahad, Faisal Halim pula berdepan serangan asid sehingga kepekatan asid yang digunakan pelaku menyebabkannya melecur tahap empat dengan saraf dan tulang merupakan organ yang terkesan daripada serangan itu.
Terbaharu, bekas pemain Harimau Malaya, Safiq Rahim pula menjadi individu terbaharu menjadi sasaran serangan jenayah ketika hendak pulang ke rumah selepas menjalani latihan di Pusat Latihan JDT Sri Gelam, Johor Bahru, Johor, kira-kira pukul 10 malam Selasa.
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya pilu mendengar berita mengenai pemain bola sepak yang semakin menjadi-jadi seperti seolah-olah menjadi 'target' individu tertentu.
"Sedih wei, mula dengar kecederaan tahap dua tup tup naik ke tahap empat. Mula dengar direhatkan lima hingga enam minggu kini menjadi lima hingga enam bulan itu pun bergantung! Siapa pun yang buat atau terlibat secara langsung atau tidak n*rakalah yang paling layak untuk anda," tulis Cen Polo.
Ada juga warga maya yang berpendapat bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu lebih menonjol untuk memainkan peranannya bagi mengelak lebih ramai pemain bola sepak berdepan serangan individu yang tidak dikenali.
"FAM tak berapa nak bersuara, apa punya persatuan," tulis Lord'B.
Bagaimanapun, perkara itu sudah mendapat perhatian ramai termasuk FAM dan di peringkat kementerian.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilaporkan mahu meningkatkan tahap keselamatan bagi memastikan pemain dilindungi ketika menjalankan tugasan bersama skuad kebangsaan baik di dalam mahupun luar negara.
Pada masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Penaung Selangor FC dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, sebagai Presiden Selangor FC, mengecam sekeras-kerasnya serangan tidak bermoral itu dan mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian hingga akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya dapat ditangkap segera.
Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh juga mengecam tindakan kurang perikemanusiaan oleh individu tidak dikenali ke atas Faisal Halim apabila dirinya menjadi mangsa disimbah asid. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram