[VIDEO] Melayang NCD angkara microsleep sesaat, ramai cadang dengar dangdut elak sondol belakang Vellfire


  • Massa
  • Sabtu, 17 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan belakang kereta Toyota Vellfire yang dilanggar pemandu tersebut di sebuah lebuh raya pada Isnin lepas.

SEORANG lelaki berputih mata selepas terlibat dalam kemalangan kecil ketika memandu di sebuah lebuh raya di Petaling Jaya, Selangor pada Isnin lalu.

Menerusi hantaran dimuat naik individu tersebut di Instagramnya @zharifzhafrii, kejadian berlaku berpunca daripada microsleep.

Dia yang juga merupakan wartawan tempatan itu mendedahkan bahawa terpaksa menanggung kerugian besar selepas melanggar kereta jenis Toyota Vellfire di hadapannya.

BACA LAGI: Ikuti 7 tip elak microsleep supaya kekal fokus sepanjang memandu

BACA LAGI: 'Microsleep ke?' Owner dashcam meraung lepas kena rempuh kereta 4 tayar ke atas

Dalam video yang dikongsinya itu, Zharif pada awalnya dikatakan sangat mengantuk sebelum kemudiannya terlelap ketika menunggu di lampu isyarat merah.

Pada masa sama, dia juga tanpa sedar menekan pedal minyak sekali gus menyebabkan kereta dipandunya terlanggar belakang kereta Vellfire tersebut.

Rentetan itu, dia meluahkan, terpaksa membayar jumlah insurans yang tinggi kerana kehilangan diskaun insurans atau NCD (No Claim Discount) miliknya.

"Malang tak berbau. Gara-gara microsleep sesaat, melayang NCD kereta aku. Tak pasal tahun-tahun mendatang perlu bayar premium insurans yang tinggi.

"Hentam belakang Vellfire pula tu. Tapi, Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa," tulisnya.

Mengambil iktibar, Zharif sempat memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak memandu dalam keadaan mengantuk.

"Nasihat untuk kalian, apabila mengantuk tu tiba-tiba datang ketika memandu, buatlah apa yang patut supaya tak terlelap ketika memandu. Terlelap ni memang payah sikit nak kawal. Hati-hati," pesannya.

Dalam pada itu, rata-rata warga maya dilihat turut memberi cadangan agar memasang lagu rancak seperti dangdut bagi memastikan pemandu kekal segar.

"Pergi dan balik aku wajib dengar lagu dangdut (sarankan lagu Mas Idayu) tambah melalak dalam kereta sebab tak nak mengantuk. Kalau cuaca okay, buka tingkap.

"Elakkan dengar radio sebab kadangkala mereka pasang lagu bosan dan penyampai asyik bercakap," komen @nimofa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram