'Suara puaka', tapak khemah kotor antara 5 perkara boleh ganggu masa 'healing'


  • Hobi
  • Ahad, 25 Feb 2024

Aktiviti perkhemahan merupakan salah satu aktiviti menarik yang dapat menenangkan pemikiran.

JIKA dahulu trend percutian di hotel menjadi pilihan, kini percutian secara perkhemahan yang bertemankan suasana damai alam menjadi kegemaran ramai.

Apatah lagi, ditambah dengan bunyi air sungai mengalir yang menjadikan aktiviti perkhemahan di tepi sungai sebagai terapi diri yang amat memberi ketenangan buat sesetengah orang.

Ada juga yang memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga berkhemah di tepi laut yang tidak kurangnya memberikan pemandangan serta kepuasan yang mengasyikkan.

Rata-rata penggemar rekreasi luar pastinya menggunakan cara itu sebagai salah satu bentuk istirehat yang mampu menenangkan pemikiran.

BACA LAGI: 15 finalis berentap rebut gelaran juara Anugerah Lagu Indie 2023, bawa pulang RM36,000

BACA LAGI: CNBLUE kembali ke Malaysia selepas satu dasawarsa

Namun, terdapat juga beberapa hal yang mampu membuatkan mood seseorang rosak ketika mengidamkan waktu healing yang nyaman. Berikut antara aktiviti yang boleh mengganggu riadah seseorang.

1. Berkaraoke sehingga mengganggu ketenteraman orang lain

Tidak dapat dinafikan, sesetengah orang berasa terganggu dengan aktiviti berkaraoke terutama jika dibuat di kawasan perkhemahan.

Buktinya, baru-baru ini seorang lelaki menerima sokongan daripada ramai netizen selepas meluahkan di Facebook bahawa aktiviti berkaraoke di tengah-tengah hutan sama sekali tidak bersesuaian.

Menurut pengguna dengan nama Laili Basir, membawa set berkaraoke mampu merosakkan mood orang lain apabila terpaksa menahan telinga bagi mendengar suara yang tidak enak dilantunkan di kawasan perkhemahan.

"Jangan bawa set karaoke kecuali campsite itu korang sahaja ada, kita tenangkan fikiran nak hargai alam bukan dengar 'suara puaka'," tulisnya.

Malah seorang pengguna dengan nama Sha Mia menitipkan pesanan supaya kaki karaoke melakukan aktiviti nyanyian di tempat yang sepatutnya.

"Dalam ilmu adil, adil tu bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya, kalau nak karaoke, sila ke pusat karaoke," tulisnya.

2428371

Aktiviti perkhemahan sepatutnya menjadi kenangan terindah buat semua.

2. Tangisan bayi atau kanak-kanak

Aktiviti perkhemahan yang dibuat beramai-ramai sama ada bersama rakan sekerja mahupun keluarga tercinta merupakan momen yang indah.

Namun, disebabkan tangisan bayi atau kanak-kanak, ia mampu membuatkan perasaan seseorang terganggu dengan bunyi bising itu.

Meskipun ada yang mampu menerima perkara itu kerana menganggap fitrah bagi kanak-kanak, namun segelintir orang tidak nyaman dengan hal itu.

3. Tempat yang salah

Pemilihan tempat perkhemahan yang salah mampu membuatkan aktiviti perkhemahan yang menenangkan bertukar menjadi rasa 'kosong'.

Banyak isu pemilihan tempat yang salah terjadi kepada peneroka alam seperti hanya mengetahui sesuatu kawasan itu memiliki persekitaran yang kotor selepas tiba di tempat berkenaan.

Selain itu, terdapat juga tempat yang kurang bersesuaian seperti terlalu banyak nyamuk dan gangguan serangga-serangga kecil.

Ini kebiasaannya dialami oleh pengunjung yang hanya melihat keindahan gambar sesuatu kawasan menerusi media sosial.

Mereka tidak menyangka persekitaran tempat itu tidak seindah yang difikirkan apabila sudah tiba di kawasan itu buat pertama kalinya.

4. Rakan healing yang kurang common sense

Segelintir orang memiliki common sense yang rendah sehingga menyebabkan ramai orang tidak senang untuk bersamanya.

Memiliki rakan yang kurang common sense akan menimbulkan banyak isu yang terjadi terutama ketika ingin berhasrat untuk menenangkan pemikiran.

Sebagai contoh, seseorang berjanji untuk sampai ke destinasi pada pukul 3 petang tetapi dilihat muncul lewat sejam daripada masa yang dirancang.

Isu-isu sebegini bukan hanya mampu menyebabkan mood seseorang rosak tetapi juga mampu menjejaskan hubungan silaturahim.

kevin-erdvig-761286-unsplash

Membakar daun atau ranting berdekatan tapak khemah tidak sesuai untuk aktiviti perkhemahan. — Gambar hiasan

5. Bakar daun atau ranting untuk halau nyamuk

Membakar daun atau ranting terlalu dekat dengan tapak khemah dengan tujuan untuk menghalau nyamuk sama sekali tidak sesuai untuk aktiviti perkhemahan.

Ini kerana, asap yang berada di sekitar kawasan itu akan merebak ke dalam khemah dan menyebabkan orang yang berada di dalam khemah mengalami masalah pernafasan.

Malah, segelintir orang memiliki masalah kesihatan dan tidak boleh menghidu asap yang berlebihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram