Anak sukar belajar kerana hidap ADHD? Ketahui cara berkesan galak mereka teroka bakat


  • Sihat
  • Khamis, 22 Feb 2024

Terdapat banyak cara yang berkesan bagi menangani kelakuan hiperaktif kanak-kanak ADHD.

GANGGUAN Kecelaruan Tumpuan dan Kelasakan (ADHD) adalah kecelaruan tingkah laku yang biasa terjadi dalam kalangan kanak-kanak atau disebut sebagai hiperaktif.

Ibu bapa mesti menerima hakikat bahawa anak ADHD mempunyai otak yang berbeza fungsinya dengan otak kanak-kanak lain.

Tidak dinafikan anak dengan ADHD boleh belajar mengenal pasti apa yang boleh diterima dan tidak dalam persekitaran umum.

Pun begitu kecelaruan yang dialami menjadikan mereka lebih cenderung dengan tingkah laku impulsif iaitu dengan menurut kata hati masing-masing.

Terdapat tiga jenis penyakit ADHD:

Dominan inatentif: Kebanyakan tanda adalah tidak dapat menumpukan perhatian

Hiperaktif impulsif: Kebanyakan tanda adalah hiperaktif dan cenderung melakukan sesuatu dengan cepat

Kategori campuran hiperaktif-impulsif dan inatentif: Pesakit kebiasaannya mengalami masalah campuran di antara dominan inatentif dan juga hiperaktif impulsif

BACA LAGI: Rasa 'sayang' boleh buat anda keracunan ubat

WhatsApp Image 2024-02-20 at 6.47.20 PM

Banyak perkara yang boleh dibuat untuk mengatasi masalah kesukaran belajar dalam kalangan kanak-kanak ADHD.

Terdapat beberapa cara bagi mengelak masalah kesukaran belajar dalam kalangan anak-anak ADHD

1. Tetapkan tingkah laku

Ibu bapa perlulah menentukan tingkah laku yang boleh diterima dan tidak boleh diterima anak-anak.

Dengan cara itu, ibu bapa mampu mengelak anak-anak daripada melakukan sebarang perbuatan yang membahayakan diri mereka.

Menghukum tingkah lakunya pada hari ini dan membiarkan pada keesokan hari adalah salah satu contoh perbuatan tidak baik dalam mendidik anak ADHD.

Beberapa tingkah laku kasar sukar diterima oleh penghidap ADHD seperti dimarahi secara terbuka.

2. Bantu kanak-kanak menemui bakat mereka

Segelintir pihak bertindak mengasingkan kanak-kanak ADHD kerana dianggap berbeza daripada orang lain.

Namun, perkara ini boleh memberi kesan kepada kanak-kanak sehingga mereka berasa seperti tidak boleh melakukan sesuatu dan akhirnya mengalami kemurungan.

Lebih membahayakan, jika perasaan ini muncul pada kanak-kanak sejak mereka berumur 8 tahun.

Guru perlulah meneliti minat dan bakat terpendam kanak-kanak ADHD agar dapat menghidupkan semula semangat kanak-kanak untuk belajar.

Kebiasaannya, jika kanak-kanak ADHD yang berusia lima tahun dan ke atas memiliki bakat dalam sesuatu perkara, mereka mampu menguasai bidang itu dengan mudah.

Sebagai contoh, kanak-kanak ADHD berkemungkinan tidak menyukai untuk menulis karangan panjang tetapi mampu melukis dengan sangat berseni.

Hukuman ini perlu dijelaskan kepada anak sebagai masa untuk menenangkan diri dan memikirkan perilaku negatif yang dilakukan.

WhatsApp Image 2024-02-20 at 6.48.03 PM

Kanak-kanak ADHD perlulah mendapat sokongan daripada orang terdekat.

3. Menetapkan rutin yang teratur

Memetik daripada Center for Disease Control and Prevention (CDC), ibu bapa perlulah menetapkan jadual rutin harian anak mereka.

Jadual ini boleh dimulakan meliputi aspek seperti bangun tidur, sarapan pagi, bermain, tidur siang, sehingga berehat pada waktu malam.

Ini boleh menjadi salah satu cara untuk mendidik kanak-kanak ADHD kerana mereka benar-benar memerlukan peraturan yang jelas dan corak berstruktur yang perlu mereka ikuti.

Rutin yang teratur dan berjadual dengan disiplin akan membantu kanak-kanak menjadi lebih tenang apabila melakukan sesuatu.

4. Pecahan tugasan

Ibu bapa dan guru perlulah membahagikan tugasan yang diberikan menjadi pecahan kecil yang mudah dikendalikan.

Tugasan yang diberikan juga boleh dinotakan pada dinding mahu pun jadual kerja bagi mengingatkan anak-anak tentang tugasan mereka.

5. Jauhkan kanak-kanak daripada sebarang perkara yang mengganggu

Ibu bapa perlulah menjauhkan anak-anak ADHD daripada sebarang gangguan semasa belajar kerana secara umumnya kanak-kanak ADHD mudah berasa terganggu.

Terdapat kanak-kanak ADHD yang boleh menumpukan perhatian dengan cara mendengar muzik tetapi ada juga yang boleh menumpukan perhatian dalam keadaan suasana sunyi tanpa sebarang bunyi.

Oleh itu, salah satu cara untuk mendidik kanak-kanak ADHD adalah dengan menyesuaikan keadaan yang membuatkan mereka tenang agar mampu menumpukan perhatian dengan mudah.

Berikut adalah dua perkara yang perlu ibu bapa hindari daripada lakukannya ketika mendidik anak dengan ADHD.

1. Jangan terlalu berkeras

Ibu bapa perlulah bersedia untuk berkompromi dengan anak mereka.

Sebagai contoh, jika anak sudah mampu menyiapkan dua daripada tiga tugas yang ditetapkan, ibu bapa perlulah mempertimbangkan untuk bersikap fleksibel bagi tugasan ketiga yang belum selesai.

Meskipun usaha kanak-kanak mereka mungkin dianggap kecil, tetapi itu merupakan satu proses pembelajaran yang mampu membentuk anak anda menjadi lebih berkembang.

2. Jangan bersikap negatif

Ingat bahawa tingkah laku anak ADHD disebabkan oleh kecelaruan.

ADHD mungkin tidak kelihatan di luar, tetapi ini adalah satu ketidakupayaan dan harus diberikan perhatian seadanya.

Orang terdekat perlulah lebih bersabar terhadap tindakan anak ADHD yang kurang memuaskan kerana perkara itu mampu dibentuk dan mungkin tidak akan berulang lagi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram