Alami insomnia? Susah tidur malam? 7 tip tidur sempurna untuk anda


  • Sihat
  • Selasa, 26 Dis 2023

Tidur yang sempurna amat penting untuk kesihatan tubuh badan.

SERING terasa letih tetapi tidak boleh tidur? Statistik menunjukkan sembilan daripada 10 rakyat Malaysia mengalami insomnia dan mempunyai masalah tidur.

Ramai daripada kita tidak menyedari kesan pada tubuh jika kurang tidur.

Tubuh badan manusia bukanlah seperti mesin yang sentiasa berfungsi selagi mempunyai bateri.

Hal ini kerana tubuh kita memerlukan tempoh masa untuk berehat dengan cara tidur pada waktu malam.

Susah tidur malam bukan isu baharu yang sering dialami oleh golongan dewasa.

Namun tanpa disedari masalah tidak cukup tidur ini boleh mendatangkan kesan bahaya kepada diri.

Bagi individu yang sering berdepan tekanan, sama ada melibatkan kerja atau peribadi, kurang tidur atau susah untuk melelapkan mata adalah masalah normal.

Masa tidur yang tidak cukup boleh membuatkan seseorang berasa 'lemau'. Anda mungkin mengalami sakit kepala, berasa tidak selesa dan sukar menumpukan perhatian kepada tugasan harian.

Keletihan dan tidak cukup tidur boleh memberikan banyak kesan buruk kepada diri. Cuma ia jarang sekali menyebabkan kematian.

Tetapi apabila anda kerap susah tidur malam, ia akan memberikan kesan kepada tahap kesihatan dengan cepat.

Oleh itu terdapat tujuh tip yang dapat dibuat bagi membolehkan seseorang peroleh tidur yang sempurna.

1. Tidur pada waktu yang sama

Seseorang perlulah meletakkan masa khusus untuk tidur pada setiap malam. Tidur pada waktu yang sama setiap hari merupakan jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah ini. Contohnya, jika anda biasa tidur jam 11 malam, setiap hari anda perlu cuba melelapkan mata pada jam 11 malam walaupun berada di hujung minggu. Ini akan memudahkan badan kita menyesuaikan diri. Ini kerana, badan kita ini memiliki circadian rhythm atau internal clock. Mengikut internal clock, ini merupakan perkara penting bagi membolehkan badan kita merembeskan hormon-hormon melatonin dan sebagainya untuk tujuan kesihatan badan.

2. Dapatkan cahaya matahari semula jadi

Masa yang seeloknya untuk mendapatkan cahaya mata semula jadi adalah pada waktu pagi antara jam 7 hingga 10.pagi. Pada ini, ia bukan sahaja boleh membantu badan meningkatkan penghasilan vitamin D di bawah kulit, malah boleh menyesuaikan kembali circadian rhythm atau internal clock dalam diri seseorang.

3. Bersenam

Tidak dapat dinafikan, segelintir individu sama sekali tidak bersenam kerana kesibukan tuntutan harian seperti bekerja dan aktiviti lain. Namun, senaman sangat penting untuk kesihatan tubuh badan dan tidur yang sihat. Dapatkan senaman yang mencukupi setiap hari sememangnya boleh bantu dapatkan tidur yang berkualiti. Apa yang penting adalah seseorang harus mengelakkan daripada bersenam satu jam sebelum tidur. Walaupun ada kajian mengatakan senaman malam tak bagus, tetapi kajian terkini menyatakan boleh sahaja melakukan senaman pada waktu malam tetapi tidak terlalu hampir dengan waktu tidur anda.

4. Elakkan makanan berat tiga jam sebelum tidur

Elakkan makan makanan berat terutamanya yang mengandungi kandungan gula yang tinggi, karbohidrat dan lemak sebelum tidur. Sebaiknya, jika seseorang ingin mengambil hidangan pada waktu malam, perlulah diambil tiga jam sebelum tidur. Kajian mendapati jika tidur sejurus selepas makan, ia boleh menyebabkan bateri dalam sel badan (mitokondria) mengalami kerosakan dengan cepat. Masalah ini dikenali sebagai mitochondrial dysfunction yang boleh datang menjurus kepada keradangan kronik.

5. Kurangkan kafein

Rata-rata masyarakat gemar mengambil minuman kopi setiap hari. Namun, pengambilan kafein perlulah dikurangkan sebelum tidur. Seseorang perlu mengelakkan minum kopi selepas jam 6 petang. Malah, sesetengah tubuh yang lebih sensitif kepada kafein perlu elakkan minum kafein selepas jam 3 petang. Tetapi hal ini juga bergantung pada kondisi badan masing-masing.

6. Elakkan long nap ketika siang

Elakkan long nap pada waktu siang terutamanya selepas waktu Asar. Ini akan menyebabkan malam tu anda susah nak tidur. Nap atau tidur sekadar ingin menghilangkan keletihan seketika, disarankan sekitar 20 ke 30 minit sahaja.

7. Tidur dalam gelap

Tidur dalam keadaan gelap boleh membantu merembeskan hormon tidur yang dinamakan sebagai hormon melatonin. Hormon ini banyak digunakan untuk membaik pulih dalaman tubuh badan serta menjaga circadian rhythm. Oleh itu, anda digalakkan untuk tidur dalam keadaan tutup lampu dan dijamin anda akan memperoleh tidur yang nyenyak. Kajian mendapati, keadaan yang lebih gelap semasa tidur membolehkan lebih banyak hormon melatonin dirembeskan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram