
BANTUAN pernafasan atau lebih dikenali sebagai Cardio-Pulmonary Resuscitaton (CPR) merupakan kaedah penting yang perlu dipelajari dan diterapkan oleh semua lapisan masyarakat.
Kaedah pertolongan cemas itu berfungsi untuk mengembalikan pengaliran darah dan kadar oksigen mencukupi ke paru-paru, otak dan organ-organ penting lain.
Namun, masih ramai yang tidak peka dan mahir untuk melakukan kaedah CPR yang tepat terutamanya kepada bayi yang lemas.
Tekanan pada dada merupakan teknik wajib perlu dilakukan dalam bantuan CPR. — PHM
Kesalahan teknik dalam memberi bantuan CPR bukan sahaja memberi kesan buruk kepada organ, malah ia juga boleh menjadi punca kepada kematian.
Setiap cara CPR adalah berbeza mengikut umur atau keadaan pesakit serta CPR untuk orang dewasa tidak boleh dilakukan pada bayi.
Ia kerana, bayi mempunyai struktur fisiologi dan tulang yang berbeza dengan orang dewasa.
Antara kesalahan yang sering dilakukan adalah menterbalikkan, menggoncang atau menepuk-nepuk bayi ketika mahu memberi CPR.
Antara kesalahan yang tidak patut dilakukan ketika memberi CPR kepada bayi. — PHM
Hal ini sama seperti yang berlaku kepada seorang bayi lemas yang meninggal dunia selepas terlibat dalam sebuah kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), Bukit Besi, Terengganu pada 25 Disember lalu.
BACA LAGI: Bayi lelaki 7 bulan maut nahas 4x4 terbabas, jatuh tebing di LPT2
Ketika kejadian, rata-rata orang awam yang mahu membantu menyelamatkan bayi tersebut kelihatan buntu kerana majoritinya tidak mahir dalam memberikan bantuan CPR.
Namun, apa yang lebih meraih perhatian apabila salah seorang daripadanya menterbalikkan bayi berusia tujuh bulan itu sambil membuat CPR.
Ia merupakan teknik salah serta mitos yang sering kali disangka dapat membantu bayi mendapatkan oksigen.
Justeru, bagi mengelakkan perkara sama berulang kembali, Majoriti menyenaraikan beberapa langkah atau teknik tepat ketika memberi bantuan CPR kepada bayi yang disarankan oleh Public Health Malaysia (PHM).
1. Baringkan bayi di atas lantai (bukan tilam)
Letakkan bayi di atas permukaan rata. — PHM
Pertama sekali, pastikan cari kawasan selamat dan baringkan bayi di atas permukaan rata seperti lantai.
Kemudian, lihat sama ada bayi bernafas atau tidak dengan memeriksa dadanya bergerak ke atas dan ke bawah.
2. Letakkan dua jari pada dada bayi
Gunakan dua jari ketika CPR. — PHM
Selepas itu, tekan jari dua jari anda sedalam lebih kurang satu setengah inci pada dada bayi dan perlu diingati supaya tidak menekan terlalu kuat seperti dilakukan pada orang dewasa.
Ketika itu, lakukan perkara tersebut sebanyak 30 kali dan memberikan tekanan dengan pantas dan sederhana kuat.
Tekanan tidak boleh terlalu kuat kerana boleh merosakkan paru-paru bayi. — PHM
3. Tekan dagu bayi ke belakang sedikit
Mulut bayi yang perlu dibuka sedikit bagi membuka saluran pernafasan. — PHM
Langkah seterusnya, anda disarankan untuk menekan dagu bayi ke belakang sedikit bagi membuka saluran pernafasan.
4. Beri hembusan pernafasan melalui mulut bayi
Berikan hembusan pernafasan secara sederhana. — PHM
Kemudian, anda perlu memberi hembusan pernafasan melalui mulut bayi.
Ketika melakukan langkah keempat, anda perlu membayangkan paru-paru sebagai belon dan tidak digalakkan untuk bernafas terlalu kuat.
Hal ini kerana, ia sangat berbahaya dan tanpa sedar boleh merosakkan paru-paru bayi.
Pada masa sama, berikan pernafasan sebanyak dua kali hembusan ke mulut bayi dan lihat sama ada dada bayi naik sewaktu hembusan pernafasan diberikan.
5. Periksa mulut bayi jika ada air atau muntah
Mengiringkan bayi jika terdapat air atau muntah yang dikeluarkan. — PHM
Dalam pada itu, anda digalakkan untuk memeriksa mulut bayi setiap dua minit jika ada sebarang air atau muntah yang dikeluarkan.
Jika ada sebarang tanda yang dinyatakan, bayi perlu diletakkan secara mengiring untuk mengeluarkan air atau muntah tersebut.
6. Ulang langkah berikut sehingga pasukan kesihatan tiba
Akhir sekali, anda disyorkan untuk mengulang kesemua teknik sambil menunggu pasukan keselamatan atau pihak kesihatan tiba bagi memberi rawatan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram