[VIDEO] Bayi lelaki 7 bulan maut nahas 4x4 terbabas, jatuh tebing di LPT2


  • 112
  • Selasa, 26 Dis 2023

Tangkap layar video memaparkan orang awam yang sedang membantu menyelamatkan mangsa kemalangan di LPT2, Bukit Besi, Terengganu pada Isnin.

SEORANG bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 372, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), Bukit Besi, Dungun, Terengganu pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir dilaporkan berkata, mangsa, Adam Rayyan Abdul Rahim disahkan maut ketika maut ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kira-kira pukul 12.25 tengah hari Selasa.

Maizura berkata, mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang dipandu oleh bapanya, Mohammad Taufik Babge, 34, bersama ibunya, Hamizah Mustapha, 35, serta dua lagi penumpang, Nik Muhammad Ariff Al-Iman Nik Mohad Azmi, 20, dan Faresh Rayyan Abdul Rahim, 11, ketika kejadian.

"Mohammad Taufik yang merupakan seorang juruteknik di Pangkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka ketika itu sedang memandu kereta jenis Mitsubishi Pajero Sport dalam perjalanan dari arah Ajil menghala ke Kuantan, Pahang.

"Kesemua mereka yang menaiki kenderaan tersebut dipercayai dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan pulang ke Pengerang, Johor.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dipercayai telah melanggar lopak air yang sekali gus menyebabkan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghalang lebuh raya tersebut," katanya.

Pada masa sama, kenderaan berkenaan kemudiannya dilaporkan terjatuh di tebing yang dipenuhi air sebelum kesemua mangsa diselamatkan oleh orang awam di lokasi kejadian.

Katanya lagi, Mohammad Taufik cedera di kedua-dua belah kaki, Hamizah cedera ringan di kaki dan dada manakala Nik Muhammad Ariff dan Faresh cedera di dada.

Kesemua mangsa dilaporkan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu bagi rawatan lanjut manakala Mohammad Adam yang dihantar ke HSNZ tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia selepas 18 jam menerima rawatan.

Sementara itu, Maizura dilaporkan berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

f3638f0b-42bf-430c-ac7a-1c3c3213c679

Kes berasingan di LPT2 yang meragut nyawa Nur Afiah Sumayyah.

Dalam kes berasingan di LPT2 berhampiran Plaza Tol Kerteh, seorang bayi perempuan berusia 18 bulan maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki lima sekeluarga terlibat dalam kemalangan gara-gara mengelak lubang.

Mangsa, Nur Afiah Sumayyah Mohammad Sulaiman yang dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun disahkan meninggal dunia pada pukul 9.40 malam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sewaktu kejadian, kereta Perodua Kancil dipandu bapa bayi itu dikatakan dalam perjalanan ke Setiu dari Felda Neram di sini.

“Bapa mangsa dipercayai membelok kereta ke laluan kanan berikutan laluan kiri ditutup kon akibat permukaan berlubang.

“Sebuah kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza yang sedia ada di laluan kanan gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta Perodua Kancil itu.

“Impaknya kereta Perodua Kancil berkenaan hilang kawalan lalu terbabas merempuh penghadang jalan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram