SEJAK dua hari lalu, nama penyanyi popular Indonesia, Bunga Citra Lestari atau BCL, 40, menjadi perhatian peminat industri hiburan.
Ia selepas beliau dilapor akan kembali mendirikan rumah tangga pada 2 Disember depan dalam satu majlis perkahwinan yang berlangsung di Bali.
Dalam perbincangan mengenai perkara tersebut, yang menjadi perhatian tentunya adalah mengenai lelaki yang menjadi pilihan penyanyi jelita tersebut.
Media melaporkan bahawa bakal mendirikan perkahwinan keduanya itu bersama seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Tiko Pradipta Aryawardhana.
Dengan latar belakang yang bukan datang daripada industri hiburan, ia menyebabkan identiti Tiko dilihat agak kurang dikenali.
Difahamkan, kedua-dua pasangan itu mula menjalin perhubungan ketika mereka menghadiri acara hiburan di Universal Studio Hollywood pada November 2022.
Selain itu, maklumat LinkedIn menunjukkan Tiko yang juga seorang lelaki berstatus duda itu ketika ini berkhidmat di sebuah bank terkemuka.
Beliau dikatakan terbabit dalam sektor pengurusan harta yang berkaitan tugasan pemasaran dan jualan produk.
Selain daripada pekerjaan tersebut, Tiko juga dilapor terlibat dalam perniagaan industri rakaman di Jakarta melalui syarikat diasaskannya iaitu Bombshell Records.
Menerusi perkahwinan bersama bekas isterinya, Arina Winarto, dia yang juga merupakan penganut agama Islam dikurniakan dengan tiga orang anak perempuan.
Gambar yang memaparkan Tiko bergambar bersama keluarga besar Sosroatmodjo yang merupakan bekas pemimpin utama Indonesia. — Facebook/Nunny Hersianna
Dalam pada itu, Tiko yang juga anak kepada H. Otis Aryana Prawiradinata seorang arkitek, dikatakan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tokoh pemimpin utama Indonesia yang juga bekas Gabenor Jakarta, Soemarno Sosroatmodjo.
Ia selepas tular satu foto menunjukkan kehadirannya bersama keluarga besar pemimpin tersebut ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 2018.
Menerusi gambar tersebut, Tiko dilihat bergambar bersama bekas isterinya, Arina Winarto, 45, dan ketiga-tiga anaknya.
Foto berkenaan yang dikongsikan di hantaran Facebook itu turut disertakan dengan tulisan 'Trah Sosroatmodjo' yang terjemahan bahasa Melayu adalah kerabat Sosroatmodjo.
Tiko (kiri) dan Arina bersama tiga orang anak mereka. — Agensi
Untuk rekod, Sosroatmodjo yang juga seorang doktor dan tentera berkhidmat sebagai Gabernor Jakarta selama dua penggal antara 1961 hingga 1965.
Dalam tempoh tersebut, beliau juga pernah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri Indonesia pada 1964.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada hubungan kerabat itu adalah hadir melalui keluarga Tiko sendiri atau daripada bekas isterinya.
Tiko ketika meraikan lebaran bersama BCL (kanan) dan Noah pada tahun lalu. — Instagram
Sebelum ini, spekulasi mengenai hubungan Tiko bersama BCL mula diperkatakan selepas dia dilihat menghadiri majlis ulang tahun pelantun Wanita Terbahagia itu pada Mac lalu.
Pada masa sama, Tiko dilihat turut meraikan lebaran bersama keluarga BCL.
Terdahulu, BCL pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon kelahiran Malaysia, Allahyarham Ashraf Sinclair yang menghembuskan nafas terakhir pada 18 Februari 2020 akibat serangan jantung.
Hasil perkahwinan pada 2008 itu, pasangan itu dikurniakan anak lelaki, Noah, 12. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram