WALAUPUN memegang kad Orang Kurang Upaya (OKU), mereka tetap memiliki potensi dan hak sama rata dalam masyarakat serta kekurangan itu bukanlah penghalang bagi golongan itu untuk merasai kenikmatan dan kejayaan hidup sama seperti insan lain.
Inisiatif Tapak Niaga Kafe 'Inspired Kitchen' memberi peluang kepada pelajar dan komuniti setempat golongan asnaf dan B40 untuk meningkatkan kemahiran diri, taraf hidup serta ekonomi mereka.
Demikianlah yang dilalui satu-satunya peserta OKU 'Expanding Inspired Kitchen' (PEIK) Kolej Komuniti Selayang (KKSY), Mohd Khaidir Mohd Khalil, 22, yang menyifatkan peluang diberikan kepada para pelajar untuk menyertai program itu adalah peluang seumur hidup yang sukar untuk dilepaskan.
“Kemahiran memasak yang dipelajari daripada cef-cef berpengalaman dan berkemahiran luas adalah peluang keemasan kepada saya untuk menyertai program ini.
"Sebelum ini, saya hanya mengetahui asas-asas dalam dunia masakan namun setelah menjalani kursus kemahiran ini, ilmu dan kemahiran saya bertambah baik malah saya didedahkan dengan pelbagai teknik-teknik dalam dunia kulinari dan juga perniagaan,” tambahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Datuk Mohamed Rafique Merican, berucap ketika merasmikan Tapak Niaga Inspired Kitchen.
Luah Khaidir, dia sebagai seorang pelajar OKU sering terlepas peluang untuk menyertai program sedemikian kerana lebih fokus kepada pelajaran arus perdana.
“Pelajar OKU seperti saya sentiasa terlepas daripada menyertai program seperti ini yang lebih berfokuskan kepada pelajar arus perdana. Namun, saya tidak berputus asa dan tetap komited menyertainya setiap hujung minggu meskipun tidak pulang ke kampung.
"Saya ingin membuktikan bahawa golongan OKU tetap berpeluang untuk melangkah tinggi dan menjalankan perniagaan sama seperti golongan biasa,” katanya lagi.
'Inspired Kitchen' sebelum ini ditubuhkan sebagai kafe istimewa buat golongan OKU Sijil Asas Kulinari KKSY untuk mengurus dan menjalankan perniagaan.
Namun, dengan kerjasama Maybank Islamic Berhad, restoran itu ditambah baik bagi menyediakan ruang perniagaan dan membuka peluang kepada golongan asnaf dan B40 untuk meningkatkan kemahiran diri, taraf hidup serta ekonomi mereka.
Program yang menerima tajaan berjumlah RM500,000 daripada Maybank Islamic Berhad telah bermula pada penghujung tahun 2022 menyediakan 30 kursus bidang kemahiran TVET dan keusahawanan kepada 50 peserta dalam kalangan pelajar dan komuniti asnaf, B40 pada setiap hujung minggu.
Setelah kursus kemahiran yang berjalan selama enam bulan tamat, para peserta didedahkan dengan sesi Simulasi Perniagaan bertujuan melahirkan usahawan yang menjana ekonomi, membina kemahiran peserta dalam mengendali perniagaan makanan dan minuman serta peluang meningkatkan kehidupan keluarga dan keluar daripada kemiskinan dan kesusahan.
Nur Amierull Ridzwan antara peserta Program 'Expanding Inspired Kitchen'.
Sementara itu, peserta komuniti, Nur Amierull Ridzwan Noor Shah, 30, berkata, program seperti itu amat diperlukan untuk membantu asnaf dan golongan B40 lebih-lebih lagi di kawasan Lembah Klang. Peluang yang disediakan ini adalah secara menyeluruh bermula dengan sesi kursus kemahiran, kursus keusahawanan dan platform perniagaan untuk peserta.
“Pada mulanya, tujuan saya menyertai program ini adalah disebabkan kursus membuat pes sahaja. Namun, setelah melihat pelbagai program yang disediakan KKSY dengan percuma, rugi sekiranya saya tidak teruskan kursus ini.
"Para peserta hanya perlu hadir sewaktu kursus yang dijalankan pada setiap hujung minggu dan tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk menimba ilmu dan kemahiran mengendalikan perniagaan makanan dan minuman.”
“Saya pasti, setiap individu yang ingin memulakan perniagaan, pasti modal yang dikeluarkan mencecah puluhan ribu atau ratusan ribu, namun di sini, kami diberi tunjuk ajar dari mula sehingga perniagaan berjalan tanpa sebarang modal perniagaan”, tambahnya lagi.
PEIK dikelolakan oleh Unit Keusahawanan Kolej Komuniti Selayang dengan usaha sama pelbagai unit di KKSY dan pelaksanaan program ini menyasarkan pembentukan modal insan, peluang membangunkan perniagaan makanan dan minuman seiring dengan permintaan semasa dan usaha mengeluarkan diri daripada golongan asnaf dan B40.
Pelbagai menu makanan gabungan (fusion) mengikut cita rasa tempatan dengan harga yang berpatutan disediakan dan restoran ini dibuka kepada umum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram