Hikmah hidap kanser limfoma, Rasyada tak sangka cendawan tiram jadi terapi, buka pintu rezeki


Meskipun sedang berlawan dengan kanser, Rasyada tetap bersemangat untuk menceburi bidang pertanian walaupun di luar pembelajarannya.

"TUHAN tidak tarik semangat melawan saya," kata bekas pesakit kanser yang kini mengusahakan perniagaan cendawan tiram kelabu yang dipasarkan di sekitar Batu Pahat, Johor.

Rasyada A Rahman @ Rahim, 37, disahkan menghidap kanser limfoma pada September 2016 selepas jatuh tersungkur akibat rasa lemah yang melampau ketika sedang bersenam di gimnasium.

"Ketika itu saya sedang menyambung pengajian doktor falsafah dalam bidang bioteknologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuantan,” katanya.

Menurut Rasyada, terdapat tumor bersaiz lapan sentimeter di dalam paru-parunya membuatkan dia perlu menjalani proses kemoterapi sebanyak enam kitaran.

"Semasa dalam proses kemoterapi, saya masih bertekad untuk meneruskan pembelajaran tetapi empat bulan selepas rawatan, saya disahkan pula mengalami kemurungan, major depressive disorder (MDD) berpunca daripada tekanan jangkaan orang sekeliling yang mahu saya berfungsi seperti normal, juga jangkaan yang letakkan untuk diri sendiri,” katanya.

Rasyada A. Rahman @ Rahim pengidap kanser limfoma sejak September 2016. Bernama

Berasakan kapasiti mental dan fokusnya semakin terjejas akibat MDD yang dialami, Rasyada mengambil keputusan untuk melakukan aktiviti di luar bidang pembelajarannya iaitu pertanian.

"Saya tahu saya perlu lawan sakit ini, jadi saya perlu fikir sesuatu yang saya tidak pernah buat iaitu bercucuk tanam dan berniaga. Saya buat kajian sendiri mengenai (penanaman) cendawan dan yang berkaitan dengan teknologi (pertanian) seperti fertigasi cili dan tanaman hidroponik.

"Saya juga buat kajian tentang apa yang negara kita perlukan, dasar-dasar yang berkenaan seperti dasar agromakanan dan jenis-jenis bantuan yang boleh saya peroleh sebelum memulakan Ada Fresh Farm,” katanya.

Menurut Rasyada, pesakit perlu mencari pelbagai cara yang sesuai untuk mengalihkan fokus dan memperbaiki fungsi otak.

Rasyada terdorong untuk melakukan usaha itu selepas mendapatkan rawatan dan mengambil ubat.

Setelah mengusahakan fertigasi cili dan hidroponik, Rasyada akhirnya nekad untuk memulakan penanaman cendawan pada 2019.

Proses kemoterapi adalah salah satu cara untuk merawat sakit kanser. Gambar hiasan

Jelas sekali, keputusan itu adalah yang terbaik kerana setelah dua tahun mengalami MDD pada tahun lepas dia disahkan sembuh.

"Proses membangunkan Ada Fresh Farm membantu proses kesembuhan saya daripada MDD kerana setelah saya memberi tumpuan sepenuhnya ke atas perusahaan ini, saya tidak perlu lagi mengambil ubat,” katanya.

Menurut Rasyada, pada 2021, perusahaan cendawannya telah menerima beberapa geran daripada kerajaan negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan antaranya Geran Agropreneur Muda (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Geran Belia Tani (Jabatan Pertanian Negeri Johor) dan juga bantuan Majlis Amanah Rakyat (MARA) selain geran-geran berfokus kepada komuniti dan inovasi.

Bermula tahun lepas, Ada Fresh Farm juga berkolaborasi dengan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi penempatan pelajar untuk latihan industri, menjalankan program kesedaran tentang penanaman cendawan dalam komuniti dan kerjasama membina sistem penyejukan di rumah cendawan menggunakan Internet benda (IoT) dan tenaga solar, katanya.

Rasyada berkata, perniagaannya berjaya meraih pingat emas dan perak semasa Hari Inovasi Jabatan Pertanian Johor 2023 selain mendapat penajaan penuh untuk menghadiri persidangan ‘Women in Tech’ yang berlangsung di Taiwan pada bulan depan.

"Apapun ujian yang kita hadapi, kita perlu lawan untuk diri sendiri. Niatkan apa yang kita buat untuk memberi manfaat kepada orang lain, insya-ALLAH Tuhan bersama kita,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram