TIADA siapa yang meminta untuk dilahirkan ke dunia dengan ujian untuk menempuh jalan hidup yang gelap atau penuh cabaran berliku.
Setiap individu lahir ke dunia ini dengan harapan dan impian untuk menjalani kehidupan yang bahagia dan bermakna lagi-lagi bersama orang yang tersayang.
Ini termasuklah bagi Ammar (bukan nama sebenar) apabila hasrat untuk membanggakan ibu bapa tidak kesampaian sementelah dia memilih jalan yang salah untuk berbuat demikian.
Tidak sangka, bermula dengan perasaan ingin mencuba dengan niat yang baik untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan, akhirnya tindakan tersebut memakan diri.
Puspen merupakan pusat pemulihan dadah yang menyediakan program rawatan dan pemulihan kepada individu yang memerlukan.
"Saya ambil syabu untuk tambah tenaga semasa belajar di tingkatan tiga tetapi tidak sedar akhirnya terjebak jadi penagih dadah,"
Demikian pengakuan seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Ammar ketika menceritakan bagaimana dia mula mengambil dadah jenis syabu sejak berusia 15 tahun.
Setiap pelajar menginginkan keputusan terbaik dalam peperiksaan. — Gambar hiasan
Pemuda berusia 25 tahun yang berasal dari Melaka itu berkata, dia mencuba mengambil dadah itu ketika berada di asrama penuh demi memenuhi cita-cita memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).
Namun apa yang terjadi kepada Ammar adalah sebaliknya selepas dia terjerumus ke lembah penagihan angkara mempercayai syabu kononnya dapat membantu menambah tenaga untuk mengulang kaji pelajaran bagi tempoh lama.
"Ketika itu, saya memperoleh sumber bekalan dadah jenis syabu daripada abang senior di sekolah.
"Saya mengambil syabu kononnya untuk 'stay up' lebih lama semasa mengulang kaji pelajaran, tetapi akhirnya berlanjutan sehingga berusia 24 tahun yang mana ketika itu dia bekerja di sebuah farmasi di hospital kerajaan," katanya.
Ammar berkata demikian ketika ditemu bual bersama Majoriti semasa Program Retreat Media Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tahun 2023 di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Isteri nasihat untuk berubah
Dia berkata, walaupun sudah berumah tangga, namun dia masih mengambil barang larangan itu menyebabkan isteri menasihatinya untuk mendapatkan rawatan pemulihan.
"Cadangan itu pada permulaannya berat untuk diterima, namun akhirnya saya mengalah demi cinta kepada isteri, anak-anak dan keluarga.
"Ini satu pengorbanan besar demi keluarga dan insan tersayang," katanya.
Ammar yang secara sukarela mendaftar memasuki Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) tidak menyangka kini sudah mampu berubah setelah 10 bulan berada di pusat pemulihan itu.
Bapa kepada dua orang cahaya mata itu berkata, dia sudah menjalani rawatan dan pemulihan di Puspen selama 10 bulan namun mengakui belum bersedia kembali ke komuniti untuk bekerja kerana baginya tempoh pemulihan itu masih tidak mencukupi.
Syabu antara jenis dadah stimulan atau perangsang yang mampu mengganggu mental seseorang. — Gambar hiasan
"Saya masih tidak bersedia untuk hadapi dunia luar untuk bekerja kerana masih mahu sedikit tempoh lagi di dalam Puspen supaya betul-betul pulih," katanya.
Ammar juga menasihatkan individu yang sedang menanggung ketagihan dadah agar tidak menyusahkan keluarga dan membuat pengorbanan demi masa depan diri selain mendapatkan saluran yang tepat.
“Saya sarankan janganlah susahkan keluarga lagi, mereka tak tahu cabaran yang kita tanggung untuk menahan ketagihan.
“Hanya kita sendiri yang tahu macam mana untuk melepaskan ketagihan dengan cara berkorban dan mencari saluran yang tepat,” ujarnya.
Tambah Ammar, kehidupan bersama rakan-rakan di Puspen seumpama adik-beradik, selain pegawai petugas yang sangat membantu.
"Sejujurnya, di sini sebenarnya banyak membantu saya untuk berubah dan menjadi insan lebih baik, seterusnya menjalani kehidupan normal," ujarnya.
Tanpa menoleh ke belakang, Ammar menyimpulkan bahawa keputusan memilih untuk memasuki Puspen adalah satu tindakan tepat untuk menjadi insan berguna. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram