Ambil konsep berhibur sambil beramal, Suriavolusi sumbang RM11,000 buat Palestin


  • Hiburan
  • Ahad, 22 Okt 2023

Suriavolusi akan menemui peminat di Kelantan pada Sabtu depan.

SURIA FM dengan kerjasama AC Gas menyumbangkan sebanyak RM11,000 ke Tabung Bantuan Khas Palestin menerusi konsert Suriavolusi yang diadakan pada Sabtu di The Curve, Mutiara Damansara.

Kira-kira 3,000 pengunjung yang hadir ke konsert Suriavolusi itu berpeluang untuk berhibur sambil beramal.

Tabung kelolaan Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama organisasi Kita Fund akan disampaikan kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam masa terdekat.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) berkata, pihak Suria FM prihatin akan nasib yang menimpa penduduk di Palestin.

"Alhamdulillah pembukaan tirai Suriavolusi di lokasi pertama dipermudahkan walaupun dalam sederhana bagi menghormati situasi yang sedang melanda rakyat Palestin.

"Sebagai tanda keprihatinan, Suria FM dan AC Gas menyalurkan sedikit sumbangan ke Tabung Bantuan Khas Palestin.

"Para pengunjung yang memeriahkan pentas Suriavolusi di The Curve turut dipinta bersama-sama memberikan sokongan dan memperjuangkan isu yang melanda di Palestin," katanya dalam kenyataan.

DJ Lin berkata, pengunjung di Kelantan yang bakal menghadiri konsert Suriavolusi di lokasi kedua iaitu KB Mall Kelantan pada Sabtu ini (28 Oktober) juga berpeluang untuk berhibur sambil menyumbang menerusi badan organisasi tersebut.

Suriavolusi di Kelantan akan turut disempurnakan juga penyerahan sumbangan wang tunai daripada AC Gas kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Darul Mizan, Masjid Al- Ridhuan Kubang Kerian dan Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia.

"Kami agak berdebar kerana tidak tahu penerimaan warga Kelantan terhadap Suria FM bagaimana kerana dah lama Suria FM tidak menemui peminat.

"Tetapi kami akan berusaha sedaya upaya di samping terus berusaha sedaya upaya, di samping terus berdoa agar segala dipermudahkan," katanya.

Artis Kelantan

Pelbagai barisan penyanyi memeriahkan Suriavolusi di KB Mall, Kelantan bermula pukul 3 petang sehingga 6 petang.

Antara penyanyi yang bakal beraksi di pentas Suriavolusi adalah Azlan and The Typewriter, Aju Success, Halim Yazid & Dikir Barat dan Renggo Arrow.

Terdapat juga pelbagai acara yang dapat disertai pengunjung seperti pertandingan mewarna kanak-kanak yang akan berlangsung dari 12 tengah hari sehingga 2 petang buat kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun dengan kemasukan adalah percuma.

Malah, pelbagai hadiah menanti pengunjung seperti basikal, skuter kanak-kanak, beg sekolah dan hamper menanti pengunjung. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram