PELAKON dan model Ikmal Amry, 29, mendedahkan dirinya kini memberikan fokus sepenuhnya terhadap isterinya yang bakal melahirkan anak kedua mereka.
Menurut Ikmal atau nama sebenar Mohd Zulhikmal Amry Ghazali yang juga merupakan salah seorang bekas peserta Hero Remaja pada 2017, keutamaan sememangnya diberikan kepada keluarganya sahaja setakat ini.
"Alhamdulillah, isteri saya sekarang sedang mengandung anak kedua dan sedang menunggu waktu untuk melahirkan.
"Jadi, sementara menunggu, saya memang tiada terima atau terlibat dalam sebarang penggambaran setakat ini," katanya kepada Majoriti.
Ikmal ketika ditemui dalam promosi drama terbaharunya di Suria FM pada Khamis.
Teruja dengan kedatangan ahli baharu, pelakon popular itu sempat berkongsi tentang usia kandungan isteri, Najla Shamsul Kamar, 24, yang akan mencecah sembilan bulan pada Oktober.
Pada masa yang sama, Ikmal juga menceritakan tentang kehidupannya selepas bergelar seorang suami dan ayah kepada dua orang anak.
"Sebagai seorang suami dan ayah, saya hanya lakukan tanggungjawab seperti biasa, pulang ke rumah dan bergembira bersama mereka di rumah selepas bekerja," tambahnya.
Semenjak sudah berkeluarga, masa dan perhatiannya kini sememangnya diberikan kepada isteri dan anak perempuannya, Cailie serta mengaku tidak sempat untuk menghiraukan segala perkara negatif yang dilontarkan kepadanya.
Sementara itu, Ikmal juga membuat kemunculan istimewa dalam siri terbaharu From Saga With Love yang boleh ditonton mulai 21 September setiap hari Khamis di Viu Original. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram