'Malayneum 23' saji kejutan istimewa buat peminat Butterfingers


  • Hiburan
  • Khamis, 28 Sep 2023

Antara ahli Butterfingers yang hadir mempromosikan konsert terbaharu di Suria FM pada Selasa.

KUMPULAN legenda rock Malaysia, Butterfingers kini kembali dengan semangat baharu demi kepuasan peminat muzik underground.

Bersempena konsert 'Malayneum 23' yang bakal diadakan pada 7 Oktober nanti, ia pastinya menjadi sebuah naskah yang istimewa buat seluruh 'Royal Butters'.

Ketika ditanya tentang persediaan konsert kali ini, Mohd Fakharudin Mohd Bahar atau nama pentasnya, Kadak berkata, setiap ahli Butterfingers berada dalam keadaan yang lebih bersedia.

"Kalau dahulu kami main langgar sahaja, tetapi sekarang kami lebih bersedia dan mohon doa yang baik-baik sahaja dari orang ramai," kata Kadak yang juga merupakan pemain bass kumpulan itu.

msg1050426791-16849

Afiz Loko (kiri) dan Kadak (kanan) ketika mempromosikan konsert yang bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Kadak yang juga pernah mengalami masalah kesihatan pada konsert Transcendence 20 Tahun di Stadium Malawati, Shah Alam, 2019 mendedahkan sudah belajar dari pengalaman dahulu bagi konsert akan datang.

"Dari segi kesihatan, kami Alhamdulillah semua sihat dan memang sudah bersiap sedia.

"Kita pun sudah belajar daripada pengalaman dahulu, jadi kali ini kami bawakan sedikit konsep yang berlainan," kata Afiz Loko selaku pemain dram kumpulan itu.

Katanya, persembahan kali ini merupakan suatu kelainan yang tiada pada kumpulan lain kerana lengkap dengan penceritaan sebuah muzik itu sendiri.

"Ia bukan sekadar konsert atau persembahan biasa seperti kumpulan lain, tetapi kami bawakan penceritaan, visual, penulisan, muzik.

"Persembahan nanti juga akan kami ada susunan plot cerita yang lengkap tentang muzik kami," tambah Kadak lagi.

Bukan itu sahaja, Butterfingers juga dilihat mahu bawa nama kumpulan ini terus selari dengan peredaran jenis muzik pada masa kini.

"Bagi peminat-peminat baharu terutama anak muda, konsert Malayneum ini sememangnya sesuai untuk mereka datang kerana ia mampu tunjukkan kepada mereka siapa kami," ungkapnya lagi.

Katanya, walaupun Butterfingers mempunyai bunyi-bunyian yang keras atau kasar untuk didengari tetapi masih mengekalkan elemen Melayu dalam setiap lagunya itu.

Sementara itu, jualan tiket konsert yang bakal berlangsung tidak lama lagi itu juga dikatakan sudah terjual sebanyak 80 peratus setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram