Kematian pelakon, 'influencer' jatuh bangunan tiada unsur jenayah — Polis Johor


  • 112
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Pemergian Syazlin Zainal mengejutkan ramai rakan artis.

PIHAK polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kes kematian seorang pelakon sambilan yang ditemukan meninggal dunia pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan tentang penemuan mayat seorang wanita di bahagian bawah pangsapuri di kawasan Taman Iskandar, Johor Bahru.

Beliau berkata, mangsa ditemui meninggal dunia selepas dipercayai jatuh dari tingkat 22 pangsapuri berkenaan dalam kejadian pada pukul 12.50 tengah hari, Khamis.

"Hasil siasatan polis mendapati wanita berkenaan adalah seorang warga tempatan berusia 26 tahun dan bekerja sebagai pelakon sambilan.

"Siasatan juga mendapati, sebab kematian adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Pada masa sama, beliau memohon orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil memberi maklumat di Balai Polis Taman Pelangi atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mat Nawi Ab Rahman di talian 016-5050808.

Difahamkan, proses bedah siasat masih lagi dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HSA dan jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga.

Terdahulu, Majoriti melaporkan pelakon drama Oh My Hantaran, Syazlin Zainal, 26, dikhabarkan meninggal dunia pada petang Khamis.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram