Bukan sekadar untuk rancang kehamilan, asid folik boleh cegah kecacatan bayi


  • Sihat
  • Rabu, 19 Jul 2023

Pengambilan asid folik secara konsisten pada 12 minggu pertama kehamilan dapat membantu mengurangkan risiko bayi mengalami kecacatan tiub neural. — Gambar hiasan

ASID folik atau folat adalah sejenis vitamin B9 yang boleh ditemui secara semula jadi dalam makanan seperti asparagus, bayam, brokoli dan pisang.

Ia berfungsi untuk menghasilkan sel darah merah yang sihat, pengeluaran bahan genetik dan penting dalam tempoh pertumbuhan yang pesat terutamanya semasa awal kehamilan untuk membantu dalam perkembangan janin.

Pegawai Farmasi di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Tham Su Ann berkata, kekurangan zat folat dalam kalangan wanita hamil menjadi salah satu punca kecacatan tiub neural pada bayi yang menjurus kepada masalah pembentukan dan tumbesaran saraf bayi dalam kandungan.

Menurutnya, ia akan mengakibatkan bayi dilahirkan dengan tempurung kepala yang tidak lengkap (anencephaly), tumbesaran otak yang terencat dan pembentukan tulang belakang yang tidak sempurna (spina bifida).

"Situasi-situasi ini mungkin terjadi pada awal kandungan iaitu seawal empat minggu pertama.

"Walaupun wanita boleh mendapat zat folat daripada sayur-sayuran hijau, namun kandungan folat yang diserap oleh tubuh mungkin tidak mencukupi kerana ia mudah dimusnahkan oleh haba apabila sayur tersebut dimasak.

"Oleh sebab itu, pengambilan suplemen asid folik sangat digalakkan sebagai sumber tambahan zat folat kepada tubuh," katanya.

264954

Kekurangan zat folat dalam kalangan wanita hamil menjadi salah satu punca kecacatan tiub neural pada bayi yang menjurus kepada masalah pembentukan dan tumbesaran saraf bayi dalam kandungan. — Gambar hiasan

Sementara itu, Su Ann berkata, pengambilan folat secara konsisten dengan dos sebanyak 400 mikrogram (mcg) sehari sehingga sekurang-kurangnya 12 minggu pertama kehamilan dapat membantu mengurangkan risiko bayi mengalami kecacatan tiub neural.

Bukan itu sahaja, katanya, bakal pengantin turut disyorkan untuk mengambil asid folik tiga bulan sebelum hari pernikahan.

Malah, kajian menunjukkan bahawa wanita yang bertahun-tahun mencuba dan masih belum hamil boleh mengambil asid folik pada dos yang disarankan secara berpanjangan.

Tambah Su Ann, risiko mengalami masalah kesihatan akibat pengambilan yang berterusan adalah rendah sekiranya dos tidak diambil secara berlebihan.

"Dos asid folik yang lebih tinggi iaitu sebanyak 5 miligram (mg) boleh disarankan oleh doktor dalam tiga situasi iaitu wanita hamil yang pernah mengalami masalah bayi dengan kecacatan tiub neural pada kehamilan terdahulu.

4911ad439aae7

Kajian menunjukkan wanita yang bertahun-tahun mencuba dan masih belum hamil boleh mengambil asid folik pada dos yang disarankan secara berpanjangan. — Gambar hiasan

Selain itu, dos asid folik yang tinggi itu turun diberikan kepada wanita sedang mengambil sebarang ubat antiepileptik (ubat sawan) dan wanita hamil yang menghidap diabetes," katanya.

Mengulas lanjut, Su Ann mememaklumkan suplemen asid folik boleh diambil setiap hari pada waktu yang sama sebelum atau selepas makan.

Namun, katanya ia memberikan kesan sampingan seperti hilang selera makan dan kembung perut.

"Sekiranya pengguna mengalami gejala alahan kepada ubat ini, seperti gatal kulit, kemerah-merahan pada kulit, bengkak pada muka, bibir, lidah atau tekak serta mengalami kesukaran bernafas, mereka hendaklah mendapatkan pemeriksaan lanjut dengan kadar segera.

"Jikan terdapat sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum)," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram