Filem tempatan dalam carta 'flop', raih kutipan kurang RM15,000


  • Hiburan
  • Rabu, 23 Nov 2022

Sebutan filem Bidong: The Boat People yang mengangkat tema sejarah tentang pelarian Vietnam ke Pulau Bidong, Terengganu sekitar 1970-an.

MENONTON filem di pawagam bukan sekadar aktiviti santai yang boleh dilakukan bersama keluarga dan rakan-rakan, tetapi pada masa sama dapat membantu penggiat seni untuk terus berkarya.

Pengkarya tempatan tentu sahaja memerlukan sokongan penonton memandangkan lapangan filem tanah air tidak terlalu meluas jika dibandingkan dengan produk luar negara seperti Indonesia, Amerika Syarikat dan Hong Kong.

Meskipun sekarang muncul variasi pilihan aplikasi penstriman, namun perasaan menonton di layar lebar nyata memberi kepuasan berbeza.

Begitu juga pandangan terhadap tahap kualiti sesebuah naskhah turut bergantung kepada kutipan filem.

Sebagai contoh, kutipan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mencecah RM100 juta selepas ditayangkan sekitar Jun lalu.

Berdasarkan angka tersebut, penonton dapat membuat tafsiran sama ada karya terbabit berbaloi ditonton atau sebaliknya.

Masakan tidak kerana harga tiket untuk menonton filem tempatan sekarang mampu mencecah RM10 hingga RM20.

Jadi, oleh itu mari semak lima filem tempatan yang mendapat kutipan terendah berdasarkan kutipan filem di pawagan.

Filem: 7 Hari Kisah Cinta Langkawi

Kutipan: RM11,967

Screenshot 2022-11-22 at 3.56.28 PM

Filem arahan Anwardi Jamil, 7 Hari Kisah Cinta Langkawi (7HKCL) ini merupakan genre romantik komedi yang diterbitkan pada Oktober 2019.

Selebriti yang terlibat antaranya, Mark Adam, Chi Azim, Josiah Hogan, Peter Davis, Amai Kamarudin, Sharifah Shahirah dan Shaharuddin Thamby.

Difahamkan filem terbitan Q-Plex Communications dan Point Studios itu hanya meraih kutipan sebanyak RM11,967.

Ringkasnya 7HKCL mengisahkan seorang vlogger terkenal dicabar untuk memikat lelaki dalam masa tujuh hari. Perkara itu berlaku selepas Adira lakonan Chi Azim menyahut cabaran Joe (Josiah Hogan).

Pelbagai konflik berlaku apabila Adira berusaha memikat rakan baik Joe, Ben (Peter Davis) yang dalam masa sama ayahnya mempunyai pilihan calon suami bernama Zul.

Filem: Enjin No.9

Kutipan: RM7,466

8ca03461-699e-47a8-9fc2-30959897bd2f

Menggunakan elemen romantik komedi, filem arahan Raja Azmi, Enjin No.9 turut tersenarai dalam carta ‘kecewa’ apabila hanya berjaya mengutip sebanyak RM7,466.

Barisan nama seperti Tajul Arif, Kazar, Sharifah Shahirah, Datin Fadilah Mansor, Dottie, Bila AF dan Nurul Ayuni Asyiqin antara yang menjayakan filem itu.

Diterbitkan oleh Rangkaian Melati Production Sdn Bhd, filem tersebut mengisahkan tentang Pak Leman lakonan Kazar yang serik untuk berkahwin lagi setelah lapan kali gagal dalam perkahwinan.

Filem edaran MIG Pictures Sdn Bhd itu ditayangkan sekitar Mac 2018.

Filem: Bidong: The Boat People

Kutipan: RM 3,536

7400-13242-BidongTh

Filem arahan Yusof Kelana itu merupakan karya inspirasi daripada sejarah pelarian Vietnam yang melarikan diri ke Pulau Bidong, Terengganu sekitar 1970-an.

Ditayangkan Mac 2018, Bidong: The Boat People membariskan pelakon antaranya Taufik Hanafi, Irene Wong, Livolnia Ricky, Lawrence Poh, Abby Nour, Dickson Chin Z, Zamree, Vanessa Lim dan Man Raja Lawak.

Menggunakan latar belakang sejarah, filem terbitan YKS Film Maker Sdn Bhd dengan kerjasama SKT Media Entertainment Sdn Bhd ini juga menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) termasuk dihasilkan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Vietnam.

Filem: Bella dan Jamie

Kutipan: RM9,186

Screenshot 2022-11-22 at 3.52.20 PM

Filem arahan bersama Ghaz Abu Bakar dan Fairul Nizam Ablah itu diterbitkan Mermaid Studio yang juga merupakan rumah produksi milik pelakon, Liyana Jasmay.

Diterbitkan pada Januari 2019, filem itu memperlihatkan lakonan Liyana Jasmay, Che Puan Juliana Evans, Izzue Islam, Khir Rahman, Sharifah Nadia, Dynas Mokhtar dan Bell Ngasri.

Berjaya meraih kutipan sebanyak RM9,186, Bella dan Jamie mengisahkan tentang persahabatan antara dua sahabat baik yang berubah menjadi dingin hanya kerana seorang lelaki.

Filem: Mendidih Bro

Kutipan: RM4,090

Screenshot 2022-11-22 at 4.12.07 PM

Merupakan sebuah filem aksi, Mendidih Bro arahan Z.Lokman dibintangi oleh Azrel Ismail, Che Puan Julianna Evans, Marlyn Guinto, Yank Kassim, Adrea Abdullah dan Amy Mastura.

Ditayangkan pada Ogos 2017 oleh Swamantra Sdn Bhd hanya mampu mendapat pulangan RM4,090. Difahamkan filem tersebut hanya mampu bertahan selama empat hari di 21 pawagam seluruh negara.

Menceritakan tentang Adi lakonan Azrel Ismail yang melakukan penggambaran sebuah dokumentari mengenai puak asli di Filipina. Dalam usaha untuk menjejaki masyarakat itu di samping mendapat bantuan daripada seorang tenaga pengajar, usaha Adi itu berdepan dengan halangan apabila kehadirannya tidak disenangi oleh seorang penjual batu permata.

Dalam pada itu, dikatakan juga filem tersebut kurang mendapat sambutan kerana kekurangan promosi dan mula ditayangkan pada Ogos 2017. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram