MANA-MANA individu yang mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti pastinya berdepan kesukaran untuk menurunkan berat badan.
Selain memerlukan disiplin ketat, selalunya mereka yang berjaya menurunkan berat badan perlu menjaga pengambilan makanan agar tidak mudah kembali kepada rutin pemakanan lama.
Apatah lagi apabila kita tinggal dalam negara yang mempunyai banyak makanan lazat yang mudah didapati setiap hari, maka tidak hairanlah jika separuh daripada populasi rakyat Malaysia mempunyai berat berlebihan.
Lebih parah lagi, 41 peratus rakyat Malaysia diramalkan akan berdepan masalah obesiti menjelang tahun 2035.
Terdapat banyak cara untuk mengatasi masalah obesiti dalam kalangan masyarakat sama ada menerusi ubat-ubatan, pembedahan atau penggunaan alat canggih selain daripada rutin diet dan senaman.
Kadar obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia dilihat membimbangkan.
Bagaimanapun, Pakar Perunding Pembedahan Gastrousus dan Obesiti Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof Datuk Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood mencadangkan pesakit boleh menggunakan belon intragastrik bagi mereka yang takut akan prosedur pembedahan.
Kawal jumlah pemakanan harian
Menurut Dr Nik Ritza Kosai, kaedah tanpa pembedahan itu melibatkan prosedur selama 15 hingga 20 minit yang memerlukan pesakit menelan kapsul berasaskan sayuran mengandungi belon kempis yang disambungkan kepada kateter (tiub) panjang dan nipis.
Sebaik sahaja kapsul memasuki perut, imbasan sinar-X akan dilakukan untuk mengesahkan bahawa ia diletakkan dengan betul sebelum belon diisi dengan 550 mililiter air melalui kateter dan imbasan kedua dilakukan untuk memeriksa sama ada ia mengembung.
Kemudian, tiub berkenaan akan dikeluarkan perlahan-lahan supaya belon tersebut ditutup dan pesakit boleh pulang ke rumah.
Dr Nik Ritza Kosai berkata, perut pesakit masih boleh menampung sehingga empat liter air dengan adanya belon tersebut, namun ia bergantung kepada individu tersebut.
Katanya, apabila belon berada dalam perut, pesakit akan berasa kenyang untuk tempoh yang lebih lama dan mula makan dalam kuantiti sedikit.
"Pesakit perlu menjalani diet cecair yang ketat selama tiga hari selepas prosedur tersebut. Bergantung kepada individu, mereka boleh mula menjalani diet puri disusuli dengan pemakanan pepejal.
Belon kempis (kiri) dimasukkan ke dalam badan dan dihubungkan dengan tiub, sebelum ia diisi dengan air dan mengembang (kanan) untuk terus kekal dalam perut.
“Kembung perut adalah kesan sampingan biasa, bersama-sama dengan kekejangan perut, loya dan muntah yang boleh berlaku dalam 72 jam pertama.
"Ia mengambil masa kira-kira seminggu untuk membiasakan diri dengan belon," katanya.
Sementara itu, pesakit yang menerima peranti tersebut akan didaftarkan ke dalam 'Kitakurang' secara automatik, iaitu program pengurusan obesiti pertama di Asia yang merangkumi bimbingan selama 12 bulan daripada pasukan kesihatan terdiri daripada profesional perubatan, kesihatan awam dan dietetik untuk membimbing mereka.
Program yang dilancarkan pada 2020 ini menelan belanja kira-kira RM15,000 hingga RM17,000 (di hospital swasta), dan boleh didapati di kedua-dua hospital awam dan swasta di 10 negeri.
Mengulas lanjut, selepas empat bulan, injap pelepas pada belon akan dibuka bagi membolehkan ia dibuang secara semula jadi atau dimuntahkan, walaupun ia jarang berlaku.
Bagaimanapun, rawatan ini tidak disyorkan untuk mereka yang mengalami refluks teruk, pembedahan bariatrik, atau parut akibat pembedahan abdomen.
Perubahan gaya hidup
Berkenaan penggunaan alat perubatan tersebut, Dr Nik Ritza Kosai memaklumkan pihaknya menggunakan lebih 500 belon intragastrik sejak September 2020 hingga April lalu.
Berdasarkan pemerhatiannya, 404 pesakit perempuan dan 98 lelaki berjaya melengkapkan program 12 bulan itu dengan rekod penurunan berat badan sebanyak 5,249 kilogram (kg).
Beliau turut memaklumkan pengurangan berat paling banyak yang pernah direkodkan oleh pesakit ialah sebanyak 59.6kg bersamaan 34 peratus berbanding menggunakan kaedah pembedahan.
Dr Nik Ritza Kosai
Bagaimanapun, Dr Nik Ritza Kosai tidak menafikan ada pesakit yang akan kembali kepada rutin lamanya atau rasa bermotivasi setelah mendapat berat badan ideal dan terus menjaga kesihatan.
"Semasa rawatan, kami berharap pesakit akan berubah cara berfikir dengan mengubah gaya hidup dan tabiat pemakanan, selain teruskan bersenam," katanya.
Tiada lagi sakit lutut
Seorang doktor gigi, Dr Hamedah Hashim merupakan salah pesakit yang menggunakan kaedah belon intragastrik mengatasi masalah berat badan berlebihan.
Katanya, pelbagai kaedah rutin diet dan senaman yang digunakan namun ia tidak membuahkan hasil, malah berat badannya sentiasa kembali kepada keadaan asal selepas menjalani rutin berkenaan.
Walaupun wanita berusia 52 tahun itu sentiasa menjalani gaya hidup aktif terutamanya berbasikal dan mengikut sesi tarian zumba, namun dia terpaksa menghentikan semua rutin tersebut selepas mengalami sakit lutut beberapa tahun dulu.
"Berat badan saya mula meningkat, tapi saya berdoa tidak mahu duduk di atas kerusi roda (kerana sakit lutut).
“Namun ketika melayari internet, saya menemui Dr Nik Ritza Kosai di Instagram dan membuat keputusan untuk berunding dengannya pada April 2022," katanya.
Dr Hamedah merupakan salah pesakit yang menggunakan kaedah belon intragastrik.
Selepas empat bulan Dr Hamedah menyertai program tersebut, dia kehilangan 13kg berat badan sebelum belon itu mengempis dengan sendirinya.
Walaupun berat naik sedikit selepas belon tersebut dikeluarkan, dia berjaya mengurangkan lebih banyak berat badan dengan bantuan pakar pemakanan dan pakar diet, bersama dengan senaman bersesuaian.
Kini berat badannya stabil pada 69 hingga 70kg dan yang paling bagus, sakit lututnya juga hilang.
"Program ini bukan sahaja bagus untuk fizikal, tetapi juga mental kerana ia benar-benar merubah gaya hidup saya," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram