Kisah survival viral di media sosial, Udin bakal dapat kios berniaga di Padang Rengas


  • Primer
  • Isnin, 12 Jun 2023

Ahmad Awaludin (kiri) ketika berniaga menjual nasi lemak bagi menampung kehidupan dan kos rawatannya yang menghidap penyakit jantung berlubang. — Facebook

PERANCANGAN sedang dibuat bagi mendirikan sebuah kios perniagaan di Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak untuk membantu Ahmad Awaludin Idris, 18, menjalankan aktiviti jualan nasi lemak untuk menampung kehidupannya.

Kisah kegigihan remaja itu yang juga dikenali sebagai Udin untuk mencari pendapatan bagi menampung hidup dan rawatan penyakit dihidapinya iaitu jantung berlubang tular sejak pada minggu lalu seperti diwar-warkan laman Facebook, Seladang Perak.

Pegawai Operasi Parlimen Padang Rengas, Sham Shaloy berkata, pihaknya sedang dalam proses untuk menyediakan kemudahan tersebut bagi membolehkan remaja itu meneruskan perniagaannya dengan lebih baik.

Katanya, Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan juga akan mengadakan pertemuan bersama Ahmad Awaludin untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada remaja berkenaan berkaitan bantuan diperlukannya bagi memastikan kelangsungan jualan makanan itu.

"Minggu ini kita akan jumpa dia dulu sebelum serahkan semua bantuan yang diperlukan. Kita tidak mahu nanti bila dah kemudahan itu, tapi tidak mampu nak buat mungkin atas faktor kesihatan dan sebagainya.

351152125_776184943892967_1512518629575843761_n

Kisah kegigihan Ahmad Awaludin mula tular sejak Ahad. — Facebook

"Jadi kalau kata dia ada kesungguhan untuk jadikan itu sebagai sumber sampingan yang dia boleh buat, maka baru kita akan ambil langkah seterusnya," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Sham berkata, Pejabat Ahli Parlimen Padang Rengas juga sudah memulakan proses berhubung dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Baitulmal untuk mendapatkan bantuan kewangan khususnya dalam membantu menampung kos rawatan penyakit Ahmad Awaludin.

"Jadi itu semua dalam proses permohonan. Cumanya kita sedang tunggu ketetapan daripada pihak mereka yang tentunya memerlukan sedikit masa,"ujarnya.

Ahmad Awaludin yang dilaporkan kini tinggal bersama ibu saudaranya itu perlu melakukan pemeriksaan berkala antara dua hingga enam bulan sekali di Hospital Pulau Pinang kerana penyakit jantung berlubang yang dihidapinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram