'Besarkan anak sendirian, saya perlu bersedia fizikal dan mental', Lufya pertahan tuntutan mutaah RM1 juta


Lufya membuat tuntutan tersebut bukan sahaja ke atas dirinya, tetapi demi membesarkan anak perempuan tunggalnya berusia enam tahun.

PELAKON dan penyanyi, Lufya Omar menyifatkan tuntutan mutaah sebanyak RM1 juta merupakan 'harga' kepada pengorbanannya sepanjang berumah tangga dengan bekas suami, Dr Che Muhammad Hafiz.

Lufya atau nama lengkapnya Lufyah Sheikh Omar, 38, berkata, jumlah tersebut merupakan permulaan bagi kehidupan baharu bersama anak perempuan, Laana Huara, 6.

"Tuntutan mutaah ini berdasarkan pengorbanan saya sepanjang perkahwinan kami.

"Ada beberapa sebab mengapa saya buat tuntutan itu dan antaranya ingin meneruskan kehidupan bersama anak apatah lagi kos sara hidup sekarang makin tinggi," katanya yang hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Rabu.

Pelakon drama Umairah itu turut memberitahu, nilai RM1 juta itu merupakan harga sebuah keadilan terhadapa penceraian yang berlaku.

Sebagai ibu tunggal, bukan mudah untuknya apatah lagi tahap kewangan kini agak berbeza selepas bercerai.

majoriti2023 (93)

Selepas berpisah dengan Lufya pada 2020, Dr Che Hafiz ini bergelar suami kepada pelakon Julia Farhana pada 2022.

"Sebagai wanita saya sendiri tidak mahukan perpisahan. Sebelum membuat tuntuan, saya perlu bersedia fizikal dan mental apatah lagi perlu membesarkan anak seorang diri.

"Sebelum berkahwin saya aktif bekerja dan pendapatan kukuh waktu itu. Sekarang sudah berbeza dan untuk kembali semula itu mengambil masa yang panjang," ujarnya.

Lufya turut menjelaskan sepanjang tempoh tiga tahun berpisah, dia tidak membuat sebaran tuntutan melainkan nafkah anak.

Sebelum ini Lufya berkahwin dengan Dr Che Hafiz pada 26 November 2016 dan berpisah pada 17 Jun 2020.

Dr Che Hafiz kemudian mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Julia Farhana pada 14 Disember 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram