'Mereka juga mahu menikmati Aidilfitri', Team Riders ADV Malaysia santuni Rumah Asnaf Al Barakh


  • Hobi
  • Isnin, 17 Apr 2023

Team Riders ADV Malaysia menyantuni penghuni Rumah Asnaf Al Barakh di Taman Keramat, baru-baru ini.

KETIKA ramai umat Islam sibuk menyediakan persiapan bagi menyambut ketibaan Aidilfitri, kelab skuter Team Riders ADV Malaysia memilih jalan untuk mencari lebih keberkatan Ramadan dengan melakukan kerja amal menyantuni golongan asnaf, baru-baru ini.

Team Riders ADV Malaysia yang diwakili lebih 20 ahli kelab turun mengadakan lawatan sambil menyumbang bantuan berupa barangan keperluan dan wang tunai kepada Rumah Asnaf Al Barakh di Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Sebagai rekod, rumah asnaf tersebut pernah menjadi perhatian media susulan kemelut kewangan yang dihadapi sehingga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turun padang menghulurkan bantuan.

Pengasas Asnaf al-Barakh Malaysia, Yusof Nor sebelum ini berkata, pihaknya memerlukan dana RM31,000 sebulan bagi menampung kos operasi asrama dan keperluan anak-anak termasuk makan minum, sekolah, sewa asrama RM2,000 sebulan dan ultiliti.

“Kami sudah beroperasi selama 12 tahun dan ketika ini ada 38 penghuni termasuk 11 anak yatim manakala selebihnya asnaf yang berusia seawal usia lapan bulan sehingga ke Tingkatan Dua," katanya.

photo1681735432

Izzat (kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil Rumah Asnaf Al Barakh.

Prihatin dengan perkembangan semasa, Team Riders ADV Malaysia yang diketuai Presidennya, Muhammad Izzat Mohamad Rasul turut mengambil inisiatif mengumpulkan sumbangan dalam kalangan ahli kelab untuk disalurkan kepada rumah asnaf terbabit.

Aizat berkata, pihak kelab berjaya mengumpulkan wang tunai lebih RM2,000 dan beberapa barangan keperluan untuk diserahkan kepada pihak pengurusan rumah asnaf tersebut bagi meringankan beban mereka.

"Ini merupakan penganjuran kali kedua kita mengadakan acara amal seperti ini di bulan Ramadan selepas kejayaan pada tahun lepas.

"Kita berharap dengan sumbangan ini dapat membantu mereka membeli kelengkapan raya seperti pakaian untuk memastikan anak-anak syurga ini juga merasai nikmatnya menyambut Aidilfitri.

"Kami juga berharap lebih ramai pihak tampil untuk membantu golongan yang memerlukan ini, bukan sahaja daripada kelab-kelab motor tetapi kita sebagai rakyat Malaysia," katanya.

photo1681735432 (1)

Rozaidi berkata, pihaknya merancang mengadakan lebih banyak aktiviti kebajikan.

Dalam pada itu, Setiausaha Team Riders ADV Malaysia, Mohammad Rozaidi Mohd Shari berkata, selain menerima sumbangan daripada ahli kelab, mereka turut menerima dana dan bantuan daripada orang luar.

Katanya, selain program berbentuk tahunan itu, pihak kelab juga merancang untuk meneruskan acara Kembara Merdeka yang dijangka diadakan pada bulan Ogos sempena bulan kemerdekaan.

"Kami juga berhasrat untuk mengadakan aktiviti kebajikan secara bulanan hasil daripada jualan baju dan pelekat yang akan disumbangkan kepada pihak yang memerlukan.

"Di samping itu, kita juga membantu menyalurkan sumbangan kepada ahli dan sahabat kelab yang terlibat dalam kemalangan sebagai usaha meringankan beban mereka," katanya.

Team Riders ADV Malaysia mula ditubuhkan pada Februari 2022 dan kini mempunyai kira-kira 4,000 ahli di seluruh negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram