Ramai tak sedar hidapi anemia, kurang daya ingatan, denyutan jantung laju antara simptomnya


  • Sihat
  • Isnin, 13 Mac 2023

Anemia merupakan penyakit yang berpunca daripada kekurangan sel darah merah. — Agensi

ANEMIA merujuk kepada kekurangan hemoglobin (sel darah merah) yang berfungsi membawa oksigen ke seluruh tisu badan. Hal ini sering berlaku apabila badan tidak dapat menghasilkan sel berkenaan yang mencukupi atau kehilangan melalui pendarahan.

Antara penyebab anemia ialah kehilangan darah sama ada berlaku semasa kemalangan jalan raya atau selepas pembedahan. Kehilangan darah kronik biasanya berlaku semasa kedatangan haid berlebihan dan infestasi cacing.

Selain itu, kurang penghasilan sel darah merah di dalam sum-sum tulang disebabkan oleh beberapa faktor antaranya, toksik, kekurangan hormon, kerosakan sum-sum, gangguan pembentukan sel darah merah dan kekurangan faktor penting seperti zat besi, vitamin B12, folate serta erythropoietin.

Faktor toksik disebabkan oleh penyakit inflamasi, kerosakan hati, ginjal dan ubat-ubatan. Kekurangan hormon pula berpunca daripada paras hormon tiroid rendah dan kerosakan sum-sum berpunca daripada kanser darah serta penyakit sum-sum tulang.

WhatsApp Image 2023-03-12 at 15.48.20 (1)

Kekurangan zat besi merupakan antara punca seseorang menghidapi anemia. — Agensi

Pemusnahan sel darah merah yang berlebihan boleh berlaku dalam beberapa jenis jangkitan atau pengambilan ubat tertentu. Terdapat dua jenis anemia yang biasa berlaku iaitu disebabkan kekurangan zat besi dan talasemia.

Antara tanda-tanda atau gejala yang ramai orang tidak menyedari bahawa mereka menghidapi anemia ialah rasa letih sepanjang masa, pening, sesak nafas apabila melakukan aktiviti fizikal, kadar denyutan jantung yang pantas, kurang daya ingatan dan hilang berat badan.

Oleh itu, orang ramai digalakkan membuat pemeriksaan paras hemoglobin di klinik berhampiran untuk menentukan sama ada anda menghidapi anemia atau tidak.

Jika seseorang mengalami anemia disebabkan oleh masalah perubatan seperti talasemia dan leukaemia, rawatan khusus perlu dilakukan.

Namun, jka anemia disebabkan oleh kekurangan zat besi, pengambilan makanan seimbang yang mengandungi zat besi amat membantu seperti nasi, hati ayam, bayam dan daging lembu tanpa lemak.

Sebagai info tambahan, anemia teruk boleh menyebabkan kegagalan jantung yang mana fungsi jantung menjadi sangat lemah dan tidak mencukupi serta mengalami masalah semasa mengandung iaitu kelahiran pramatang dan kerencatan pertumbuhan janin dalam kandungan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram