'Semalam lambat, hari ini lambat', hakim berang Siti Bainun, peguam tidak tepati masa


Siti Bainun dan peguamnya tidak berada di mahkamah pada perbicaraan kes yang ditetapkan pada 9.30 pagi pada Selasa. — Bernama

HAKIM Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berang susulan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dan peguamnya tidak berada di mahkamah pada perbicaraan kes yang ditetapkan pada 9.30 pagi pada Selasa.

Pada Selasa, Siti Bainun menyambung keterangannya pada prosiding membela dirinya atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Di awal prosiding, Izralizam bertanyakan kepada pembantu peguam, Siti Zulaikha Zulkifli yang berada dalam bilik bicara mahkamah di mana peguam Mohammad Farhan Maaruf.

"Peguam bela di mana? Semalam saya tetapkan pukul berapa? 9.30 pagi betul? Awak ingatkan sikit anak guam awak (Siti Bainun). Dia adalah Orang Kena Tuduh (OKT), semalam lambat, hari ini (Selasa) lambat.”

Siti Zulaikha kemudian memaklumkan Siti Bainun sudah tiba di mahkamah namun dia mungkin pergi ke tandas

Ketika ini Siti Bainun dilihat memasuki galeri awam dan hakim itu meminta Siti Bainun memasuki kandang tertuduh.

Izralizam: "OKT (Orang Kena Tuduh), kamu pergi mana tadi? Saya sudah kata semalam kes bermula pada 9.30 pagi. Kenapa kamu keluar. Sepatutnya kamu berada dalam mahkamah. Saya dah masuk, timbalan pendakwa raya dah masuk, kenapa kamu tidak boleh?

Siti Bainun: "Saya ada dekat luar. Jawab panggilan. Saya tidak dengar mahkamah sudah bermula.”

Hakim itu kemudiannya mengingatkan semua pihak supaya menetapi masa.

Semasa prosiding hari ini (Selasa) juga Izralizam menegaskan bahawa tiada isu yang boleh memperjudiskan Siti Bainun dalam prosiding membela dirinya itu.

Beliau berkata walaupun Siti Bainun, 31, mempunyai hak untuk melantik, memilih dan menukar peguam namun penukaran peguam di saat akhir semasa tarikh perbicaraan ditetapkan telah menjejaskan perjalanan kes itu di mahkamah.

"Saya ingin memberi peringatan kepada peguam, supaya berhati-hati dalam mengemukakan hujahan dan pernyataan yang merujuk kepada dakwaan bahawa tertuduh seolah-olah tidak diberikan peluang menjawab hujahan pendakwaan dan seolah-seolah diprejudiskan ketika perbicaraan pembelaan dijalankan kerana Siti Bainun tidak diwakili peguam.

"Saya percaya ia merujuk kepada tarikh perbicaraan pada 26 dan 27 Januari lepas kerana pada tarikh itu peguam tiada selepas menarik diri daripada mewakili Siti Bainun.

"Untuk ingatan peguam, pada dua tarikh itu, saya hanya mengarahkan tertuduh membaca pernyataan saksi dan pernyataan saksi tambahan yang tidak dibantah oleh pihak pendakwaan,” katanya sebelum perbicaraan kes Siti Bainun itu bemula.

Semalam (Isnin), Siti Bainun melantik semula peguam Mohammad Farhan untuk mewakilinya dalam prosiding membela diri selepas peguam itu dan empat peguam lain menarik diri daripada mewakili tertuduh.

Sementara itu, Izralizam berkata pernyataan saksi tersebut disediakan oleh lima peguam yang mewakili Siti Bainun sebelum ini termasuk Mohammad Farhan dan ia telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Saya percaya kamu (Mohammad Farhan) sebahagian daripada peguam yang sediakan pernyataan saksi-saksi itu. Jadi, tiada isu yang boleh memprejudiskan tertuduh kerana pernyataan yang dibantah pendakwaan, saya tangguh sehingga tertuduh diwakili peguam.

"Saya berulang kali menyatakan perkara itu kepada tertuduh (Siti Bainun) dan pada 27 Januari lepas, Siti Bainun selesai membaca pernyataan saksi yang tidak dibantah," kata Izralizam.

Selain itu, Izralizam memberi amaran kepada Siti Bainun bahawa mahkamah merekodkan wanita itu tiga kali melantik peguam dan meminta supaya Siti Bainun mematuhi serta menghormati arahan mahkamah itu.

Perbicaraan bersambung petang Selasa. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram