SETIAP ibu bapa ingin melihat anak-anak mereka hidup berjaya dan berdikari sendiri. Biarpun terpaksa berpisah beribu batu, perkara itu tetap direlakan meskipun berat terasa di hati.
Namun, ketika ibu bapa melepaskan anak untuk pergi atau meninggalkan kediaman, pelbagai perasaan bercampur baur.
Emosi sedih, hampa dan kehilangan menyelubungi sehingga mereka berasa kesepian. Situasi itu dipanggil Sindrom Empty Nest (ENS).
Perkara ini lebih memberi kesan kepada ibu bapa yang lanjut usia terutama apabila anak-anak mula mendirikan rumah tangga dan tinggal di kediaman sendiri.
Justeru, berikut merupakan tanda-tanda yang dihadapi oleh ibu bapa atau orang dewasa yang mengalami ENS berdasarkan kajian kesihatan Pusat Rawatan Makati, Filipina:
Hilang tujuan
Ketika anak masih kecil, ibu bapa banyak menghabiskan masa dengan anak-anak. Namun, seiring penambahan usia, anak-anak mula memiliki kehidupan sendiri.
Ada yang memilih untuk menghabiskan masa bersama rakan-rakan atau bekerja di tempat yang jauh.
Rasa sunyi itu akan membuatkan ibu bapa berasa korong dan mampu menyebabkan depresi serta mudah berasa cemas.
Tekanan emosi
Masalah tekanan perasaan atau berasa tertekan terhadap situasi atau perkara itu dianggap perkara biasa.
Namun, situasi akan makin memburuk apabila tiba-tiba berlaku sesuatu yang mampu mencetuskan ingatan orang tua kepada anak mereka.
Reaksi itu lantas akan mendorong kepada perasaan sedih dan hiba.
Depresi
Perasaan sedih dan kecewa hanya akan mendorong ibu bapa berasa kemurungan. Mereka turut terdedah kepada depresi.
Hal itu akan terjadi apabila ibu bapa terkenang kenangan bersama anak-anak atau melawati ke lokasi yang kerap dikunjungi bersama.
Anak-anak yang terlalu berdikari dan tidak mempunyai rasa kebergantungan kepada ibu bapa akan membuatkan mereka berasa sedih.
Kekecewaan
Cepat atau lambat, anak-anak tetap akan bertambah dewasa dan mula keluar meninggalkan rumah.
Keadan itu mengakibatkan ibu bapa tidak mampu untuk mengawas gerak-geri anak-anak seperti kebiasaan.
Melihat kepada itu, ibu bapa akan berasa kehilangan dan berpendapat mereka tidak berfungsi lagi kerana anak-anak sudah dewasa.
Bimbang melampau
Apabila tinggal berjauhan, ibu bapa akan cepat berasa bimbang terhadap keselamatan anak-anak.
Disebabkan itu mereka akan terlalu berfikir dan mudah berasa cemas.
Oleh itu, ibu bapa yang bakal berdepan dengan pelbagai sebegitu perlu melakukan persediaan.
Antara perkara yang boleh dilakukan ialah memiliki hobi baharu, cari rakan untuk berbual atau melancong. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram