SEMPENA kedatangan tahun baharu, stesen radio popular Suria FM bakal mengadakan sambutan ambang Tahun Baharu 2023 pada 31 Disember di Symphony East, IOI City Mall, Putrajaya.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid, acara tersebut diadakan demi meraikan semangat baharu setelah dua tahun negara dilanda pandemik Covid-19.
“Setelah hampir dua tahun tidak diadakan sambutan ambang tahun baharu kerana pandemik yang melanda tanah air, kini Suria FM dan IOI City Mall Putrajaya mengambil inisiatif mengadakan sambutan ini sebagai penutup tirai bagi tahun 2022, sekali gus menjadi simbol bagi menyambut kedatangan tahun baharu.
“Sambutan ambang tahun baharu ini akan bermula seawal pukul 6 petang dengan menampilkan pelbagai aktiviti menarik antaranya ‘giveaway’ (hadiah cenderahati) kepada para pengunjung yang hadir, trak makanan, persembahan silap mata, Mark & Pinky dan pertunjukkan bunga api,” katanya yang turut dikenali sebagai DJ Lin dalam satu kenyataan.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang untuk membeli pelbagai barangan ekskusif Suria FM antaranya kemeja-T, lanyard, payung, pelekat kereta dan jersi edisi terhad sempena ulang tahun Suria FM ke-15.
Antara barisan artis yang akan membuat persembahan terdiri daripada Ziana Zain, Amir Masdi, Floor 88, Kugiran Masdo, Ando Bernadee, Syameer Azmi, Zulhadi, Hasif Upin, Bil Musa, Bell Yu Tian dan Geraldine.
Di samping itu, barisan penyampai radio Suria FM, Shuib, Sharifah Shahirah (Rara) dan Suraya akan turut hadir selaku hos untuk konsert pada acara tersebut.
Sebarang maklumat lanjut boleh layari www.suria.my dan laman sosial rasmi Suria FM. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram